Sudah tentu anda tertanya-tanya, kenapa model ini tiada di pasaran lain yang lebih besar, seperti Indonesia, Thailand atau Vietnam. Kenapa hanya Malaysia sahaja?
Dalam sesi soal jawab bersama pengurusan HLYM, Datuk Jim Khor selaku Pengarah Urusan Hong Leong Industries Bhd berkata, model Yamaha 135LC Fi ini dibangunkan bersama-sama dengan Yamaha Motor Co Ltd untuk pasaran Malaysia sahaja.
Ini kerana di pasaran lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, penguasaan pasaran moped adalah sekitar 45 peratus, berbanding di Malaysia yang mampu mencecah 70 hingga 80 peratus!
Selain itu, biarpun model Y15ZR sudah pun berada di pasaran, prestasi jualan bagi model 135LC masih lagi cukup memberangsangkan.

"Berdasarkan penyelidikan, memang ada satu kumpulan yang betul-betul minat model 135LC, dan kami tidak mahu mengecewakan peminat 135LC yang mempunyai sokongan kuat di sini," jelasnya lagi.
Ketika ditanya kenapa model 135LC baharu ini tidak didatangkan dengan klac tangan, jawapannya mudah. Permintaan.
Sebelum ini, HLYM pernah menawarkan 135LC versi klac sekali dengan klac auto, namun nisbah pembeli model klac auto jauh lebih tinggi, iaitu 70 peratus berbanding 30 peratus yang memilih klac tangan.
Sumber: Motoqar