XPENG Malaysia perkenal program MEGA X9 REWARDS dengan ganjaran sehingga RM45,000

oleh Danial Yasin Suhaimi|
XPENG Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan program pemilikan khas MEGA X9 REWARDS bagi model MPV elektrik premium mereka, XPENG X9.

Inisiatif terhad sepanjang Jun 2026 itu menawarkan pelbagai manfaat pemilikan bernilai sehingga RM45,000 kepada pelanggan yang membeli XPENG X9 Tahun Model 2025, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan jenama itu dalam segmen kenderaan elektrik premium di Malaysia.

Berlangsung sehingga 30 Jun 2026, pelanggan yang layak akan menikmati pelbagai manfaat eksklusif termasuk rebat tunai RM20,000, subsidi insurans sehingga RM10,000, pengecas dinding rumah percuma bernilai RM5,000 serta keistimewaan khas pelanggan korporat bernilai RM10,000 untuk syarikat dan profesional yang memenuhi syarat kelayakan.

Sebagai model flagship dalam barisan produk XPENG, X9 dibangunkan untuk menggabungkan teknologi mobiliti pintar, prestasi elektrik jarak jauh dan ruang kabin yang fleksibel bagi memenuhi keperluan keluarga moden serta pengguna korporat. 

 

5

 

MPV elektrik itu turut menampilkan gabungan reka bentuk futuristik, teknologi digital terkini dan tahap keselesaan yang tinggi bagi menawarkan pengalaman pemanduan serta pemilikan yang lebih premium.

Dari segi reka bentuk, XPENG X9 tampil dengan identiti moden menerusi lampu nyalaan siang Galaxy Light Wing yang merentasi bahagian hadapan serta badan aerodinamik yang direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga. 

Sudut tiang-A 21 darjah dan cermin belakang 23 darjah membantu menghasilkan pekali seretan udara serendah 0.236 Cd, sekali gus menyumbang kepada kestabilan yang lebih baik pada kelajuan tinggi dan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

Bagi memudahkan pemanduan di kawasan bandar, XPENG X9 dilengkapi sistem stereng roda belakang sebagai ciri standard yang membolehkan radius pusingan minimum hanya 5.4 meter. 

 

2

 

Ciri tersebut meningkatkan tahap kebolehgerakan ketika melalui jalan sempit atau meletakkan kenderaan di ruang parkir yang terhad.

Di bahagian kabin, XPENG X9 menawarkan ruang dalaman yang luas dengan konfigurasi tempat duduk yang fleksibel untuk pelbagai kegunaan. 

Tempat duduk barisan kedua boleh digelongsorkan dengan lebih jauh, manakala akses ke barisan ketiga boleh dilakukan dengan mudah menerusi fungsi satu sentuhan. 

Tempat duduk barisan ketiga pula boleh dilipat secara elektrik, membolehkan kapasiti ruang kargo diperluaskan sehingga 2,554 liter apabila diperlukan.

 

2

 

Tahap keselesaan dipertingkatkan menerusi penggunaan sistem suspensi udara dwi-ruang yang mampu melaraskan tahap redaman secara automatik mengikut keadaan jalan. 

Pengalaman digital dalam kabin disokong oleh skrin hiburan penumpang bersaiz 21.4 inci dan skrin kawalan utama 17.3 inci yang dijana cip Qualcomm 8295P bersama sistem operasi XOS, menawarkan fungsi sambungan pintar serta interaksi pelbagai skrin.

XPENG X9 dibina di atas platform voltan tinggi 800V Silicon Carbide (SiC) yang menyokong pengecasan ultra pantas, sistem itu membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang daripada 20 minit. 

 

3

Dari aspek keselamatan, pek bateri dilengkapi pelbagai lapisan perlindungan termasuk sistem pengurusan haba pintar, perlindungan voltan tinggi, kawalan bencana serta reka bentuk keselamatan enam dimensi yang membantu mengelakkan penyebaran haba sekiranya berlaku insiden pada bateri.

Struktur badan XPENG X9 turut menggunakan komponen die-cast berketeguhan tinggi yang meningkatkan tahap keselamatan dan kekukuhan casis. 

Dengan gabungan teknologi pintar, ruang kabin premium, prestasi elektrik canggih dan tawaran pemilikan yang menarik, XPENG Malaysia melihat program MEGA X9 REWARDS sebagai peluang terbaik untuk lebih ramai pelanggan merasai pengalaman memiliki MPV elektrik premium yang direka untuk mobiliti masa hadapan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
ID. Unyx 08 ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula sekitar USD33,300 hingga USD42,000 (…
Berita Global
Menariknya, terdapat spekulasi model ini mungkin dipasarkan dengan nama “Lisa”, sekali gus…
Berita Domestik
Sementara itu, kementerian berkenaan berkata, penamatan tempoh kelonggaran harga lantai RM100,000…