Dibina di atas SEPA 2.0 architecture, XPENG G6 Standard Range mengekalkan DNA pemanduan dan karakter pintar yang menjadi identiti model ini.
Pada masa sama, platform ini memberi fokus kepada kecekapan struktur, sistem software dan teknologi AI, sekali gus memastikan pengalaman pemanduan yang konsisten dan stabil untuk kegunaan harian.
Dari sudut pengecasan, G6 Standard Range menampilkan sistem 800V 5C ultra-fast charging yang membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 12 minit, antara yang terpantas dalam kelasnya.
Bateri berkapasiti 68.5 kWh ini juga lebih ringan berbanding varian Long Range, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan tenaga sehingga 16.6 kWh/100km serta jarak pemanduan WLTP sehingga 480 km .
Menariknya, penggunaan bateri ketika kenderaan diparkir dengan air-cond hidup hanyalah sekitar satu peratus sejam, menjadikannya praktikal untuk kegunaan seharian.
Selain itu, aspek keselamatan dan bantuan pemanduan turut diberi penekanan menerusi sistem XPILOT Assist.
Dengan kuasa pemprosesan 21.5 TOPS, sistem ini menyokong ciri seperti Adaptive Cruise Control, Lane Centering Control, Autonomous Parking Assist dan Auto Exit Parking Assist, sekali gus membantu pemandu dalam situasi sebenar di jalan raya .
Masuk ke ruang kabin, XPENG G6 Standard Range mengekalkan suasana moden dan lapang dengan kemasan soft-touch, ambient lighting serta paparan digital yang responsif.
Tempat duduk belakang pula direka dengan sudut sandaran dan kusyen lebih panjang bagi keselesaan perjalanan jauh, manakala sistem kamera 360 darjah membantu memudahkan manuver di kawasan sempit .
Dari segi prestasi, varian ini menggunakan motor elektrik 185 kW dengan 440 Nm tork, membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam 6.94 saat.
Berat yang lebih ringan turut menyumbang kepada pengendalian yang lebih lincah, dengan talaan suspensi yang seimbang antara keselesaan dan kestabilan.
XPENG G6 Standard Range ditawarkan pada harga RM158,888 untuk pasaran Semenanjung Malaysia, menjadikannya pintu masuk paling menarik ke dunia EV pintar XPENG.
Setiap pembelian turut disertakan sama ada 2-Year Unlimited Charging oleh JomCharge atau 11kW Wallbox dengan pemasangan, selain pakej pemilikan lengkap termasuk waranti kenderaan lima tahun dan waranti bateri lapan tahun.
Sebagai tambahan, model ini akan dipamerkan kepada orang ramai menerusi XPENG Roadshow di 1 Utama Shopping Centre dari 14 hingga 18 Januari 2026, sekali gus memberi peluang kepada pengguna tempatan untuk melihat sendiri keupayaan EV pintar ini dengan lebih dekat.