Xpander, BR-V, Avanza - Perang MPV tiga baris tempat duduk!

oleh Mohamad Hanif|
Seperti yang dijangkakan, kehadiran model baharu MPV tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander ternyata mencuri tumpuan umum, terutama bagi mereka yang mahu mencari sebuah kenderaan moden yang serba praktikal untuk kegunaan keluarga.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tarikh pelancaran masih lagi belum diketahui, namun pihak Mitsubishi telah pun memperlihatkan teaser di Mid Valley tempoh hari, serta membuka peluang kepada orang ramai untuk mendaftarkan minat menerusi laman web Mitsubishi Motors Malaysia.

Bagi anda yang mencari sebuah model MPV tiga baris tempat duduk dengan julat harga di bawah RM100k, ada baiknya jika kami sediakan perbandingan antara Mitsubishi Xpander, serta dua lagi pesaingnya iaitu Honda BR-V dan Toyota Avanza.

 

*spesifikasi Xpander negara jiran memandangkan tiada spesifikasi rasmi untuk pasaran Malaysia


Kuasa

Aspek pertama yang ditanyakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia - mampu ke daki Genting Highland?

Haaa, usah risau kerana kebanyakan enjin moden kini mampu buat lebih daripada itu, dan bukannya selalu anda perlu naik ke Genting untuk menghantar bekalan tauhu ke hotel-hotel.

Pendatang baharu Xpander didatangkan dengan enjin MIVEC 1.5 liter yang mampu menjana 103 hp dan daya kilas 141 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik empat kelajuan.

Atas kertas, walaupun sesaran hampir serupa, ternyata Honda BR-V memiliki kelebihan dengan angka output setinggi 118 hp dan daya kilas 145 Nm serta transmisi CVT yang jauh lebih maju berbanding transmisi automatik pada kedua-dua Xpander dan Avanza.

Prestasi dalam dunia sebenar pula hanya akan diketahui selepas Xpander ini rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia.

 

Dimensi


Dari segi dimensi, jelas terang dan nyata Xpander merupakan model yang paling besar berbanding BR-V dan juga Avanza, malah jarak antara roda (wheelbase) juga merupakan yang terpanjang.

Berdasarkan rujukan daripada negara jiran, Xpander menawarkan ruang kargo yang paling luas (sehingga 1,630 liter) dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga yang boleh dilipat rata - satu lagi kelebihan yang ada pada Xpander.

Malah, jika tempat duduk baris ketiga sahaja dilipat, Xpander masih lagi menawarkan ruang kargo sebesar 781 liter, berbanding BR-V sebesar 539 liter.

Toyota Avanza juga tidak kurang hebatnya dengan penawaran ruang sehingga 1,424 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.

Senang nak bawa banyak barang, kan?
 

Jarak kelegaan tanah


Aspek ini juga turut menjadi keutamaan memandangkan kita semua tahu keadaan jalan raya Malaysia yang cemerlang, gemilang dan tak terbilang jumlah lubangnya.

Jarak kelegaan tanah sesebuah MPV juga haruslah mencukupi untuk mengharungi segala halangan yang mendatang.

Sekali lagi Mitsubishi Xpander menjadi juara di dalam persaingan ini apabila ia menawarkan jarak setinggi 205 mm dari aras tanah, diikuti dengan Honda BR-V (201 mm).

Toyota Avanza pula merendah diri dengan jarak kelegaan tanah serendah 200 mm.

 

Radius pusingan - siapa boleh bikin bulatan paling kecil?


Mungkin tidak ramai yang ambil kisah soal radius pusingan, namun bagi mereka yang kerap berurusan di bandar, aspek ini turut diambil kira.

Apatah lagi di laluan yang memerlukan kita membuat pusingan U, jadi radius pusingan yang kecil sememangnya amat membantu pemanduan seharian.

Pelik tapi aneh, Toyota Avanza yang merupakan antara model tertua dalam senarai ini menawarkan jarak radius pusingan sekecil 4.7 meter, manakala dua model lain berada dalam julat pusingan yang lebih besar (5.2-5.3 meter).

Kelebihan Avanza adalah konfigurasi pacuan roda belakang serta penggunaan saiz rim yang lebih kecil (15 inci), manakala BR-V dengan saiz rim yang serupa dan konfigurasi pacuan roda hadapan pula mampu membuat radius pusingan sebesar 5.3 meter.

 

Ciri Keselamatan


Satu persamaan yang ada pada ketiga-tiga model di atas - Xpander, BR-V dan Avanza lahir dalam segmen LMPV (Low Multi-Purpose Vehicle).

Oleh sebab itu, spesifikasi keselamatannya juga tidaklah selengkap model-model yang lebih besar dan lebih moden.

Model yang paling berusia, Toyota Avanza dilengkapi spesifikasi paling asas dengan dua unit beg udara SRS (pemandu dan penumpang hadapan), brek ABS dan EBD.

Sementara model BR-V dan Xpander yang lebih moden pula hadir dengan kelengkapan tambahan seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (ESC) serta Bantuan Mula Mendaki (HHA), ciri yang sewajibnya ada pada kenderaan-kenderaan moden.

Kekurangan yang nyata pada Avanza itu lantas ditampung oleh UMW Toyota dengan penambahan dua ciri baharu, iaitu Sistem Pemantauan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang menerusi model facelift yang dilancarkan pada tahun lalu.
 

Harga jualan


Ketika artikel ini ditulis, harga jualan bagi model Xpander masih lagi belum diketahui, memandangkan tarikh pelancarannya juga masih belum diumumkan oleh pihak Mitsubishi Motors Malaysia.

Sebagai rujukan harga jualan bagi Honda BR-V bermula dari RM86,726 sehingga RM93,420 sementara Toyota Avanza pula dijual dari RM77,963 sehingga RM84,849 untuk versi yang dilengkapi Sistem Pemantauan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Kesemua harga di atas telah pun menerima pengecualian cukai jualan yang akan berakhir pada 31 Disember 2020.

Jadi, yang mana satu pilihan anda?

Tepuk dada, cuba tanya famili anda!

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Rakyat Malaysia adalah dialu-alukan untuk menghadiri dan merasai sendiri keupayaan dan pengendalian…
Berita Domestik
MMM telah menjual 24,315 unit kenderaan dengan bahagian pasaran sebanyak 3.2 peratus yang…
Berita Domestik
Namun, sebuah model yang langsung tidak tersenarai, iaitu Hyundai Stargazer nampaknya telah pun…