Menurut laporan, lebih 10,000 unit juga telah diserahkan kepada pelanggan sebelum pelancaran rasmi model itu di China pada 22 Mei ini.
Pra-jualan Wuling Binguo Pro dibuka pada harga antara 58,800 yuan (RM38,500) hingga 72,800 yuan (RM47,700).

Sebahagian Daripada Keluarga Binguo
Binguo Pro segmen di antara model asas Binguo dan varian lebih premium seperti Binguo S serta Binguo Plus. Kesemua model ini dipasarkan di bawah sub-jenama Wuling Silver yang memfokuskan kepada EV penumpang dan mobiliti bandar.
Untuk pasaran China, model asas Binguo dijual pada harga bermula sekitar 56,800 yuan (RM37,200), manakala Binguo Plus pula mencecah hampir 98,800 yuan (RM64,700).

Rekaan Lebih Moden Dan Dimensi Lebih Besar
Binguo Pro boleh dianggap sebagai versi facelift besar-besaran kepada Binguo yang diperkenalkan pada 2023. Model ini menerima identiti rekaan EV baharu Wuling dengan lampu hadapan bulat yang mengingatkan kepada Wuling Mini EV generasi terkini.
Selain itu, saiz keseluruhan juga bertambah besar. Binguo Pro mempunyai panjang 4,050 mm, lebar 1,758 mm dan tinggi 1,580 mm, bersama jarak roda 2,560 mm.
Walaupun lebih besar dan lebih moden, harga permulaan model ini hanya sekitar 2,000 yuan (RM1,300) lebih mahal berbanding Binguo standard.

Skrin 12.8-Inci Dan Sistem Ling OS
Ruang kabin masih mengekalkan tema retro dengan kombinasi warna krim serta beige bersama kemasan krom.

Berbeza dengan model asas, semua varian Binguo Pro kini menerima skrin infotainmen 12.8-inci yang menggunakan sistem operasi Ling OS milik Wuling. Ia menyokong kawalan suara AI, sambungan telefon pintar dan operasi jarak jauh menerusi aplikasi.
Motor 87 HP Dan Jarak Gerak Sehingga 403 KM
Kesemua varian Binguo Pro menggunakan motor elektrik hadapan berkuasa 65 kW atau sekitar 87 hp, dengan kelajuan maksimum 130 km/j.
Bateri jenis LFP digunakan sebagai standard, dengan varian asas menerima pek bateri 31.9 kWh yang menawarkan jarak gerak CLTC sehingga 330 km.
Varian lebih tinggi pula menggunakan bateri 37.9 kWh daripada Gotion yang mampu mencapai jarak gerak sehingga 403 km.
Menariknya, hanya varian bateri besar menerima sistem penyejukan cecair. Varian bateri kecil masih menggunakan penyejukan udara, yang boleh menyebabkan prestasi pengecasan DC menjadi lebih perlahan apabila suhu bateri meningkat.
Wuling mendakwa varian bateri kecil memerlukan sekitar 35 minit untuk pengecasan pantas 30 hingga 80 peratus, manakala varian penyejukan cecair hanya memerlukan sekitar 15 minit.
Wuling Masih Kuat Di ASEAN
Walaupun jualan domestik Wuling di China dilaporkan merosot sejak awal 2026 akibat persaingan sengit dalam segmen mini EV, jenama itu masih mencatat prestasi kukuh di pasaran luar seperti Asia Tenggara dan Amerika Latin.
SGMW ketika ini turut memiliki fasiliti pengeluaran utama di Indonesia untuk eksport rantau ASEAN.
Malah, Wuling juga telah menubuhkan fasiliti pemasangan CKD berskala kecil di Malaysia bagi pemasangan model-model tertentu untuk pasaran tempatan.
Dengan kejayaan model asal Binguo dan Air EV di beberapa negara ASEAN, tidak mustahil Binguo Pro versi pemanduan sebelah kanan akan mula muncul tidak lama lagi.
Sumber: CarNewsChina.com