Weststar Maxus lancarkan ambulans khas untuk pesakit COVID-19 di Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Weststar Maxus Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan ambulans pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan ciri Tekanan Negatif yang direka khusus untuk membawa pesakit COVID-19.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Ambulans Tekanan Negatif Maxus V80 dengan jarak antara roda panjang ini diimport sepenuhnya sebelum dilengkapkan dengan peralatan perubatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Weststar Maxus, ambulans ini menawarkan perlindungan dua tahap kepada petugas baris hadapan dan responder pertama, di mana tekanan udara di dalam kabin dikekalkan di bawah tekanan barometrik persekitaran. 

 


Secara dasarnya, kabin ambulans menjadi ruang tertutup kedap udara dan hanya udara luar sahaja yang dibenarkan memasuki ruang kabin.

Manakala udara di dalam kabin hanya akan dilepaskan setelah ambulans melalui alat pembersih tekanan negatif bio-keselamatan yang menggunakan lampu ultraungu untuk menjalankan proses disinfektasi secara automatik. 
 


Sementara pesakit pula akan diangkut di dalam Ruang Pengasingan yang diletakkan di atas katil usung, serta turut dilengkapi dengan sistem penapisan tekanan negatif untuk menghalang dan mengurangkan risiko jangkitan kepada staff perubatan. 

Ruang Pengasingan ini dibuat daripada filem TPU khas dan diperkuat dengan tiang ABS pada setiap sudut struktur itu. 

Ia juga mempunyai sistem zip menyeluruh dan ruang portal sarung tangan terbina pada kedua-dua belah yang memudahkan petugas perubatan untuk merawat pesakit. 
 


Kabin ambulans dan Ruang Pengasingan pesakit itu telah dipasang dengan sistem keselamatan yang mampu memberikan amaran kepada petugas perubatan sekiranya berlaku kebocoran udara sebelum tindakan sewajarnya diambil. 

Menurut CEO Weststar Maxus Julius Jonathan berkata, ambulans yang dilengkapi dengan sistem tekanan negatif ini mampu bertindak sebagai ambulans biasa bergantung kepada keperluan semasa sesebuah pusat perubatan. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, Maxus V80 telah pun dibuktikan sebagai sebuah kenderaan yang boleh dipercayai, praktikal dan pilihan utama kebanyakan institusi perubatan. 
 


Dengan lebih 13 tahun pengalaman, Weststar Maxus telah pun menghantar lebih daripada 500 unit ambulans kepada sektor kerajaan dan pusat perubatan swasta di Malaysia. 

"Maxus V80 merupakan satu-satunya kenderaan yang mampu mebenarkan petugas perubatan untuk melakukan rawatan ketika berdiri dengan lebih selesa, selain mempunyai ruang yang lebih luas untuk meletakkan pelbagai jenis peralatan perubatan," tambah beliau lagi. 

Maxus V80 ditawarkan dengan jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 km, atau pakej servis percuma minimum jaminan empat tahun atau 100,000 km yang turut merangkumi alat ganti, pelincir dan kos buruh.