WCE henti sementara kerja pembinaan pada minggu sambutan TBC

oleh Hamimah Hamid|
SEMUA kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong di Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) akan dihentikan bermula 8 sehingga 14 Februari sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan West Coast Expressway (WCE) Sdn Bhd, Lyndon Alfred Felix berkata, ia bertujuan melancarkan trafik di lebuh raya itu ekoran ramai yang akan bercuti.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, trafik harian kenderaan di WCE dijangka melebihi 120,000 setiap hari pada minggu tersebut 

 

Justeru ujar beliau, bagi memastikan aliran trafik kekal lancar dan selamat, WCE telah bersedia sepenuhnya dengan merancang beberapa langkah proaktif.

 

"Kita akan meningkatkan pengurusan pengoperasian dan menambah sehingga 20 peratus petugas lebuh raya seperti anggota peronda dan petugas di plaza tol.

 

"Sistem tol juga akan dipastikan berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna yang bermasalah," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat PDRM Kontinjen Perak di Plaza Tol Lekir, hari ini.

 

Majlis yang dirasmikan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Pengerusi WCE Holdings Berhad, Datuk Ir. Hamzah Hasan; Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. (B) Datuk Shaharudin Nazari dan Ahli Lembaga Pengarah WCE Holdings Berhad, Datuk Wira Hamza Taib.

 

Menurut Lyndon, anggota Emergency Response Team (ERT) juga akan ditempatkan secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

 

Selain itu katanya, trak tunda dan kren di akan bersedia di beberapa lokasi strategik, tandas dipastikan bersih dengan bekalan air hentian sebelah mencukupi serta papan tanda elektronik dan kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) beroperasi dan berfungsi dengan baik.

 

Tambah beliau, bagi memastikan setiap perjalanan di musim perayaan selamat dan lancar untuk semua, WCE bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewujudkan persekitaran pemanduan yang lebih selamat.

 

"Keselamatan di jalan raya adalah satu isu yang tiada kompromi dan di Lebuhraya WCE, keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami. 

 

"Selaras dengan itu, WCE sekali lagi bekerjasama dan menyokong sepenuhnya inisiatif PDRM untuk mewujudkan persekitaran pemanduan yang lebih selamat kepada pengguna melalui Kempen Kesedaran Keselamatan," katanya.