Wazi tegur geng konvoi tahan trafik

oleh HEZERI SAMSURI|
Baru-baru itu tular sekali lagi video sekumpulan penunggang motosikal menahan laluan trafik dan untuk memudahkan konvoi mereka.

Tindakan itu menerima kecaman dari netizen yang rata-rata bersetuju bahawa penunggang motosikal berkonvoi tidak berhak menahan perjalanan orang lain.

Reaksi dari peminat aktiviti konvoi bermotosikal yang ditemuramah oleh Careta pula berkata perbuatan itu bukan satu perkara baharu dan hairan kenapa ia menjadi isu sekarang ini.

"Mereka dengki," ujar seorang "biker" yang diajukan soalan berkaitan perkara yang sama.

Careta bertanyakan pendapat Wazi Abdul Hamid, ikon motosikal negara yang popular di dalam dunia cub prix dan juga diberikan jolokan Raja Kapchai.

Menurut Wazi, perbuatan menahan trafik jelas melanggar undang-undang jalanraya dan ia mampu mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalanraya yang lain.

 

 

"Ia juga bermaksud mereka tidak menghormati hak pengguna lain," sambungnya ketika menghadiri acara Kursus Penunggangan Selamat Marshal Givi Motowazi di Kuantan semalam.

Wazi mencadangkan kempen penunggangan motosikal yang betul boleh dilakukan untuk kelab-kelab motosikal agar garis panduan menunggang di dalam konvoi dengan selamat boleh diajar dan diterapkan.

"Pengguna motosikal perlu menghormati hak pengguna jalanraya yang lain jika mereka mahu dihormati," kata Wazi.

Pelatih profesional penunggangan motosikal itu turut mencadangkan ahli-ahli kelab motosikal untuk tidak menunggang di dalam kumpulan konvoi yang besar bila masuk ke kawasan bandar atau sibuk.

 

 

 

"Pecahkan kepada kumpulan yang kecil dan gunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Map sebagai bantuan," cadangnya.

"Jika konvoi terputus, marshal sepatutnya berhenti di tempat yang selamat di tepi jalan untuk memberi arahan kepada penunggang yang lain.

Keadaan jalanraya sekarang sudah semakin sesak kerana penambahan kenderaan. Apa yang "otai konvoi" buat dahulu tak boleh dipraktikan lagi kerana tidak sesuai dan paling penting, tidak selamat," ujar Wazi.

Berita terkini ialah pihak polis sedang mencari pengiring konvoi di Port Dickson yang videonya sedang tular sekarang.