Wayv - lampu isyarat keselamatan mudah pakai untuk penunggang basikal

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktiviti menunggang basikal yang menyihatkan tubuh badan ini, namun terdapat sikap segelintir penunggang membahayakan diri cukup membuatkan kami risau. 

Masakan tidak, dengan tiada sebarang isyarat diberikan, kami pernah melakukan brek mengejut ditengah-tengah hutan akibat mereka yang tidak prihatin akan keselamatan diri sendiri. 

Mungkin sudah tiba masanya untuk mewajibkan pemakaian sistem lampu keselamatan yang boleh dipakai, seperti yang ditunjukkan oleh Wayv ini.
 


Terima kasih kepada kemajuan teknologi LED dan Bluetooth pada masa yang sama, Wayv membawakan kepada anda sistem lampu keselamatan yang boleh dipasang pada vest dan helmet ketika menunggang basikal. 

Terdiri daripada 200 unit LED, Wayv terdiri daripada tiga komponen utama - sistem harness yang boleh dipakai pada jaket/vest/beg penunggang, unit lampu helmet (helmet tidak disediakan) dan alat kawalan jauh yang dipasang pada handlebar.

Sistem harness dan lampu pada helmet ini mempunyai tiga elemen isyarat utama, iaitu lampu berbentuk X sebagai lampu utama dan dua lampu isyarat membelok yang boleh dikawal menerusi alat kawalan jauh.
 


Menurut pereka, sistem alat kawalan jauh ini membenarkan penunggang memberikan isyarat yang dikehendaki tanpa perlu mengalihkan tangan daripada handlebar, dan mempunyai ciri yang sama seperti tuil signal pada kereta masa kini. 

Aplikasi mudah alih Wayv pula membolehkan pemilik menetapkan beberapa tetapan mudah seperti kadar keterangan lampu, mod kelipan serta tahap kesihatan bateri lampu. 

Dengan sekali pengecasan penuh, sistem harness Wayv ini mampu bertahan sehingga lima hari (dengan penggunaan sekitar 30 minit sehari), unit lampu helmet pula mampu bertahan sehingga seminggu, manakala alat kawalan jauh pula sehingga 2 minggu. 
 


Berita kurang baiknya, ia masih lagi belum diproduksikan namun anda boleh menempah menerusi laman Kickstarter dengan harga sekitar £75 (RM400) menerusi pautan di bawah.

Sumber: Wayv