Warga Singapura dilarang keluar Malaysia selagi saman tidak dibayar

oleh Mohamad Hanif|
Pesalah trafik warga Singapura akan dihalang keluar dari negara ini dan boleh ditangkap jika mempunyai saman tertunggak trafik dan saman berstatus waran tangkap.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, sehingga kini sebanyak 108,757 saman masih belum dijelaskan berbanding saman yang dikeluarkan iaitu 143,427 saman sejak 2016 sehingga 2021.

"JSPT ingin mengingatkan kepada semua pesalah trafik warga Singapura bahawa mereka boleh dihalang keluar dari negara ini sekiranya mempunyai saman tertunggak sama ada Pol 170A atau Pol 257 berdasarkan di bawah Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 24(4) Akta Polis 1967.

"Sementara itu, jika pesalah trafik mempunyai saman berstatus waran tangkap, polis akan menangkap mereka dan dituduh di mahkamah. Sekiranya tidak dapat dituduh pada hari sama, pesalah trafik berkenaan akan ditahan jika tidak dapat mengemukakan penjamin dalam kalangan warga Malaysia, sebelum dituduh keesokan hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung penguatkuasaan yang dilaksanakan, Mat Kasim berkata, pihaknya sentiasa mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bagi mengambil tindakan terhadap pesalah trafik warga Singapura sama ada berskala besar yang membabitkan semua kontinjen atau sederhana yang dilakukan oleh kontinjen Johor sepanjang tahun.

"Sehubungan itu, saya menyangkal isu saman tertunggak terkait dengan kelemahan penguatkuasaan. Perkara yang turut menyumbang kepada saman tertunggak ialah notis saman gagal disampaikan berikutan tidak mempunyai alamat pesalah trafik berkenaan bagi membolehkan saman diposkan kepada mereka.

"Selain itu, kemungkinan terdapat kenderaan yang dikeluarkan saman oleh polis sudah dilupuskan apabila sampai tempohnya, iaitu lima tahun berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa di Singapura," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengalu-alukan pelaksanaan pendaftaran kenderaan warga Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) yang berkuat kuasa di pintu masuk sempadan negara tidak lama lagi.

"Berdasarkan sistem ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan maklumat pesalah trafik bagi membolehkan notis saman dapat disampaikan kepada pesalah trafik.

"Sistem ini juga akan mengimbas nombor pendaftaran kenderaan warga Singapura yang memasuki sempadan Malaysia serta memaparkan jumlah saman tertunggak dan mereka dihalang keluar sehingga semua saman dijelaskan berdasarkan peruntukan undang-undang,"katanya.

Katanya, JSPT meningkatkan peralatan penguat kuasa yang lebih moden dan berkesan iaitu dengan menggunakan 40 alat Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap.

"Pengimbas ini dihubungkan terus kepada pangkalan data dapat mengesan kenderaan hilang atau yang dilaporkan curi termasuk kenderaan klon.

"Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan pengguna jalan raya, JSPT turut menggunakan Peralatan Pengesan Had Laju (In-Car Radar) yang dipasang pada kenderaan peronda bagi menangani kesalahan memandu melebihi had laju dan mengeluarkan saman terhadap pesalah trafik berkenaan pada ketika itu juga," katanya.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia termasuklah dari apa yang kita lakukan di atas jalan raya, di mana kita perlu berkongsi antara…
Berita Global
Kamera lampu merah yang ditempatkan di simpang jalan raya terpilih akan digunakan untuk mengesan…
Informasi
  Dalam satu kenyataan, ICA berkata pengembara juga memerlukan pasport mereka untuk pengesahan…