Warga emas mengaku tidak salah pandu van sekolah lawan arus

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pemandu van sekolah didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas pertuduhan memandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan, Manjung tiga minggu lalu.

Tertuduh, M Raman, 74 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Hafizh Abu Bakar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu van sekolah jenis Isuzu secara melulu dengan melawan arus di hadapan sebuah premis kenderaan terpakai di Jalan Lumut-Sitiawan, Manjung. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang jam 7.15 malam pada 11 Mei dan telah dirakam oleh seorang pemilik akaun TikTok. 

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

Tertuduh juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan jika disabit bersalah. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Norafida Leman manakala tertuduh diwakili Peguam S Dharmanathan.

Mahkamah turut menetapkan 20 Jun sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Dalam kejadian sekitar jam 7.15 malam 11 Mei lalu, pemandu tersebut sedang membawa lapan orang pelajar berusia 13 hingga 14 tahun.

Hasil siasatan awal, lelaki terbabit mengaku bahawa van tersebut dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana hendak menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing dari sekolah.

Kejadian itu tular menerusi satu video berdurasi 19 saat di aplikasi TikTok milik blackhyppo_7 yang memaparkan sebuah van sekolah berwarna kuning dipandu secara berbahaya dan melawan arus.