Warga emas maut selepas enam hari dilanggar penunggang motosikal 11 tahun

oleh Penyumbang Rencana|
foto Buletin TV3
Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas enam hari terlantar akibat dilanggar motosikal yang ditunggangi murid Tahun Lima (11 tahun), di Sik, pada 24 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian mangsa, Zakiah Ariffin, 60, sekitar jam 9 malam Isnin lalu.

Mangsa dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Sadu selepas menerima rawatan awal di Hospital Sik sejurus kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 6 petang ketika mangsa sedang berjalan kaki, manakala kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu menunggang motosikal dari arah Kampung Banggol Kiat menuju ke rumahnya di Kampung Namek,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Mohd Azizul, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa tiba-tiba melintas dari bahu kanan ke bahu kiri jalan, menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak.

“Akibat jarak yang dekat, penunggang cuba membrek namun tetap melanggar wanita itu,” jelasnya.

Tambahnya, penunggang motosikal itu terjatuh selepas perlanggaran namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Sik untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang melintas tanpa memastikan tiada kenderaan bergerak terus di atas jalan.

“Tindakan terhadap kanak-kanak lelaki itu kes masih dalam siasatan polis dan akan dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

- Salam takziah kepada keluarga mangsa -

BuletinTV3

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa berusia 65…
Berita Domestik
Semasa prosiding semakan hukuman, Aslam menegaskan tindakan Saiful jelas tidak wajar dan membawa…
Berita Domestik
Menurutnya, penumpang wanita berusia 61 tahun dipercayai isteri mangsa dilaporkan cedera ringan. "…