Wanita maut diseret treler

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG wanita yang dalam perjalanan balik selepas menghantar anaknya ke sekolah maut diseret treler di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Jambatan Sungai Batang Padang dekat Tapah pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7.15 pagi itu, Shahriza Ishak, 39 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala ekoran diseret treler sejauh 10 meter.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah untuk mengambil seorang lagi anaknya untuk dihantar ke sekolah.

“Siasatan awal mendapati, berlaku pergeseran antara dua kenderaan itu yang datang dari arah sama iaitu dari Tapah menghala ke Kampar.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan raya dan diseret treler berkenaan hingga menyebabkan kecederaan parah di kepala. Mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Jelas Wan Azharuddin, pemandu treler telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati pemandu treler berusia 36 tahun terbabit positif dadah jenis methamphetamine.