Wak Doyok - Anak Teluk Pulai yang bermula dari operator kilang kereta!

oleh HEZERI SAMSURI|
Mohd Azwan Haji Mohd Nor - pasti ramai yang tidak kenal nama itu tetapi sebut Wak Doyok, warga Malaysia dari Perlis sampai ke Sabah pasti akan mengenalinya.

Wak Doyok juga mencipta nama di Indonesia, negara yang mempunyai 274 juta penduduk dan bakal menjadi kuasa ekonomi baharu Asean.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selain dari fesyen, Wak Doyok juga terkenal dengan koleksi kenderaan beliau yang unik dan menjadi perhatian ramai.

Careta sempat untuk duduk sebentar bersama Wak di Kota Bahru bulan lalu untuk mengenali siapa sebenarnya Wak Doyok.

 

 

Wak Doyok - kampungnya, sekolahnya, pekerjaan lampaunya.

    ⁃    Wak Doyok berusia 42 tahun dan dilahirkan di Teluk Pulai, Klang dan beliau sebenarnya masih bujang.

    ⁃    Dari Tingkatan 1 ke Tingkatan 3, Wak Doyok belajar di SMK Telok Gadong, Kelang dan kemudian ke Sekolah Vokasional Shah Alam dalam jurusan Amalan Bengkel Mesin.

    ⁃    Wak Doyok menjadi Johan Kemahiran Malaysia dalam tahun 1995 dan 1996. Beliau mempunyai kepakaran dalam kemahiran melarik dan mencanai.

    ⁃    Pekerjaan tetap Wak Doyok yang pertama ialah menjadi operator kilang pemasangan kenderaan di AMIM Holdings, di mana Wak terbabit dalam pemasangan trak pikap Ford Ranger dan van Econovan selama dua tahun.

    ⁃    Selepas itu, Wak Doyok masuk ke BMW di bawah Sime Darby dan bekerja sebagai juruteknik bahagian pemasangan di bawah Komponen dan Pengedaran. Antara model-model BMW yang beliau pernah usahakan ialah model BMW E46 (3-Series), E60 (5-Series) dan E90 (3-Series). Ketika itu, pemasangan BMW masih dilakukan di Shah Alam.

    ⁃    Ketika di BMW, minat beliau kepada fesyen semakin terserlah dan pada zaman itu, Wak Doyok cenderung ke arah Modern Styling atau "mods". 

    ⁃    Wak Doyok mengambil pakej VSS (Skim Pemisahan Sukarela) kerana tidak mahu mengikut BMW Sime Darby yang berpindah ke kilang pemasangan di Kulim, Kedah.

 

WAK DOYOK LAMBRETTA

 

    ⁃    Selepas itu, Wak Doyok menjadi mekanik Vespa dan Lambretta untuk Wak Jasman di Meru, Klang.

    ⁃    Kemudiannya Wak Doyok bekerja sebagai pemandu di Port Klang. Beliau memandu keluar kenderaan dari perut kapal ke stokyard. Bayarannya RM10 sejam jika beliau membuka tali pengikat kenderaan dari dalam perut kapal yang panas itu dan memandunya keluar. 

    ⁃    Tidak berapa lama selepas itu, Wak Doyok menerima tawaran dari Sime Darby Auto Connexion untuk menjadi jurutekni PDI (Pemeriksaan Sebelum Penghantaran) untuk Ford. Selepas setahun, Wak Doyok meninggalkan pekerjaan itu dalam tahun 2009 untuk meneruskan minatnya di dalam bidang fesyen.

    ⁃    Dalam tahun 2010, Wak Doyok menjadi penasihat fesyen untuk sebuah butik fesyen premium - Ben Sherman dari United Kingdom. Pada masa itu, Wak Doyok boleh dikatakan sebagai peneraju fesyen "hipster".

    ⁃    Wak Doyok juga pernah menjadi model iklan untuk jenama fesyen antarabangsa dan juga menjadi model peragawan untuk majalah-majalah fesyen.

    ⁃    Dari situ, Wak Doyok tidak pernah meninggalkan cita-citanya dan beliau terus terbabit di dalam bidang fesyen dan gaya hidup.

 

 

Perniagaannya?

    ⁃    Produk Wak Doyok yang paling dikenali ialah Krim Jambang dan bermula pada tahun 2013, produk itu dieksport ke seluruh dunia dan Indonesia menjadi pasaran utama.

    ⁃    Sekain dari itu, nama Wak Doyok turut digunakan untuk produk-produk seperti busana harian seperti baju melayu. 

    ⁃    Wak Doyok juga mempunyai jenama minyak wanginya - DOSA.

    ⁃    Selain dari itu, Wak Doyok juga mempunyai perniagaan lain seperti produk curut (WD Cigar), makanan sushi (Sushi Wak Malaysia) dan juga kafe gaya hidup (Rolling Bike Engine) yang bakal dilancarkan kelak.

 

 

Perkara yang ramai orang tak tahu mengenai Wak Doyok?

    ⁃    Wak Doyok sebenarnya aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau menubuhkan Persatuan Bakti Kaseh Malaysia.

    ⁃    Antara aktiviti yang dilakukan ialah membantu fakir miskin, asnaf, dan anak-anak yatim. 

    ⁃    Lebih dari 300 syarikat menyalurkan dana untuk projek-projek Bakti Kaseh dibawah selenggaraan Wak Doyok untuk projek-projek amal di seluruh negara.

 

 

Apa jadi bila Wak Doyok ambil lesen memandu?

- Wak Doyok mengambil lesen memandunya pada usia 18 tahun.

- Beliau lulus pada ujian kedua kerana dalam ujian pertama, kereta yang dipandunya mati enjin kerana panik untuk menukar gear di bulatan (roundabout).

- Selepas dapat lesen, Wak Doyok memandu Proton Wira milik abang iparnya. "Saya memang tak suka bila jalanraya mula sesak kerana takut enjin mati masa menukar gear!," ujarnya.

- Selain dari "traffic jam", Wak Doyok juga pada masa itu "gabra" bila mendaki bukit atau jambatan kerana takutkan kereta akan menggelungsur ke belakang!

 

 

Kereta pertama Wak Doyok?

"Perodua Kancil 660 manual, dibeli dalam tahun 1999. Warnanya ungu dan varian paling asas!" terang Wak Doyok. Kenangan dengan Kancil itu ialah bila sebuah motosikal melanggar sisi Kancilnya.

"Saya sudahlah dilanggar, budak motosikal itu lari pula," sambung Wak lagi, tersenyum.

 

 

Motosikal pertama Wak Doyok?

"Suzuki Pak Imam!" katanya diikuti dengan gelak ketawa. Menurutnya, Suzuki FR70 itu lebih mesra dipanggil Suzuki Pak Imam kerana banyak digunakan oleh imam-imam surau dan masjid pada masa itu. 

"Tempat duduk dia boleh bahagi dua. Saya beli dengan harga RM300 sahaja, untuk bawa ke masjid."

Tetapi itu bukannya motosikal paling murah yang dibelinya. Wak Doyok pernah membeli sebuah Lambretta dengan harga RM50.

"Tapi saya habiskan banyak juga untuk proses baik pulih."

 

 

Perjalanan paling jauh dengan kenderaan yang dibawa sendiri?

Secara asasnya, Wak Doyok ialah seorang peminat jentera roda dua dan memang boleh dijangka pengembaraannya lebih kepada motosikal.

"Paling jauh, saya membawa Lambretta saya dari Kuala Lumpur ke Bangkok, Thailand. Saya ambil tiga minggu!"

Memang urat dawai punggung besi Wak Doyok ini!
 

 

Apakah kenderaan-kenderaan Wak Doyok sekarang?

Koleksi kenderaan Wak Doyok sebenarnya mampu mengagumkan mana-mana peminat kenderaan.

Beliau mempunyai sebuah Ford Mustang kustom, Ford Ranger Wildtrak (yang kini diubah menjadi mirip sebuah F150 Raptor), sebuah Toyota Velfire dan sebuah lagi kenderaan yang sering digunakan olehnya jika beliau perlu memandu sendiri - Perodua Myvi 1.5L Auto. 

"Kita perlu juga alat yang praktikal dan lasak, bukan?" ujarnya selepas melihat penulis terkejut mendengar Wak Doyok memandu Myvi.

 

doyok classic

 

Koleksi motosikal Wak Doyok sebenarnya yang benar-benar mengambil perhatian penulis. Antara yang ada di dalam koleksi beliau ialah motosikal-motosikal klasik British seperti Triumph Speed Twin 960 tahun 1933, BSA M20 tahun 1940-an, BSA B33 500 cc tahun 1951 dan lain-lain.

Wak Doyok juga mempunyai sebuah Harley-Davidson Fatboy tahun 1995 dengan karburetor.

"Saya memang minat motosikal klasik. Saya beli, saya baik pulih dan saya jual. Ianya macam satu perniagaan kerana memang ia menguntungkan," sambungnya.

 

wak doyok truck

 

Sejarah nombor Wak Boss?

Menurut Wak Doyok, beliau diberitahu bahawa nombor WAK8055 mahu dijual oleh pemiliknya di Trengganu.

"Nombor plet itu sebenarnya ialah nombor pendaftaran sebuah Daihatsu Charade Aura. Pemiliknya, seorang makcik, mahu menjual kereta itu dan nombornya sekali untuk melengkapkan belanja beliau menunaikan haji," cerita Wak Doyok.

"Saya beli nombor itu, keretanya saya serahkan semula ke makcik itu."

Dan itulah sejarah WAK BOSS yang sinonim dengan trak pikap Ford gergasi ikon tersebut.

 

 

Pengalaman terburuk di atas jalanraya?

Wak Doyok pernah kemalangan di Masjid Tanah, Melaka semasa beliau menunggang sebuah Lambretta. 

"Alat ganti Lambretta memang sukar untuk dicari dan pada masa itu, Lambretta yang saya tunggang tidak ada lapisan brek belakang (brake lining).

Ketika itu sudah hampir masuk waktu Maghrib, dan saya sedang menunggang menurun sebuah bukit," Wak Doyok bercerita, dengan nada serius.

"Saya tak berapa nampak apa yang ada di hadapan sehingga terlambat.

 

doyok classic 2


Tayar hadapan Lambretta saya melanggar najis lembu yang masih panas dan akibat itu, ia membuang dan saya terjatuh.

Rakan saya di belakang menghentam bahu saya. Alhamdulillah, kecederaan saya cuma luka di lutut dan sengal di bahu," sambungnya.

Wak juga berkongsi bahawa beliau tidak menggunakan helmet jenis full-face.

"Saya memang terlalu minatkan motosikal. Selalunya pekerjaan seperti saya ini memerlukan penjagaan kepada muka, tetapi saya rasa tak puas jika menunggang dengan helmet full-face. Saya sanggup ambil risiko," ujar teruna Klang itu lagi.

 

 

Nasihat Wak Doyok kepada semua.

Selain dari berhati-hati di jalanraya, Wak Doyok juga ingin mengingatkan semua agar fokus kepada impian dan cita-cita masing-masing.

"Apa matlamat kita untuk terus ke depan, dan pastikan kita tidak lari darinya," sambungnya sebelum meminta izin untuk mengundur diri.

Careta ingin mengucapkan terima kasih kepada Wak Doyok kerana sudi berkongsi pengalaman permotoran beliau. Memang terbukti Wak Doyok bukan setakat hanya mempunyai koleksi kenderaan yang menarik, tetapi beliau memang mempunyai kebolehan mekanikal dan pernah menjadi mekanik pun.

Baharu sekarang kami faham erti tanda pagar #AkuYangPakaiKoYangPanas yang sering digunakan oleh beliau. Memang tepat ditujukan kepada warga net yang cuma tahu memberi komen negatif kerana komen itu percuma.

 

 

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Siapa tak kenal Wak Doyok? Selebriti popular yang terkenal dengan produk melebatkan misai dan…