Wabak coronavirus jejas produksi syarikat automotif di China, Korea Selatan

oleh Mohamad Hanif|
Berikutan wabak coronavirus yang semakin meruncing pada ketika ini, beberapa pengeluar automotif dunia telah pun mengambil langkah berjaga-jaga termasuklah menghentikan sementara operasi di kilang pemasangan di China.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut laporan daripada Automotive News, Renault akan menambah jumlah hari tanpa operasi di Wuhan sehingga 13 Februari ini, selaras dengan arahan daripada pihak berkuasa China. 

Honda juga turut mengumumkan penutupan kilang pemasangannya di tiga lokasi (juga di Wuhan) sehingga tarikh yang sama.

Sementara itu, Toyota, General Motors, Ford dan Volkswagen Group China masing-masing menghentikan sementara operasi pengilangan sehingga sekurang-kurangnya 9 Februari ini. 

Tesla yang baharu sahaja membuka Gigafactory pertama di luar Amerika Syarikat turut meramalkan kelewatan produksi sehingga seminggu setengah berikutan wabak yang melanda pada ketika ini. 

Malah, mereka turut memantau sama ada situasi ini bakal memberikan kesan kepada rantaian bekalan terhadap kenderaan yang akan dipasang di California. 
 


Sementara itu, di luar China, pengeluar automotif Hyundai Motor turut sama menghentikan sementara produksi kenderaan di Korea Selatan, menjadikannya pengeluar automotif besar pertama yang mengambil tindakan tersebut akibat wabak coronavirus. 

Hyundai pada ketika ini mempunyai tujuh buah kilang di Korea Selatan untuk memenuhi pasaran tempatan serta pasaran eksport ke Amerika Syarikat, Timur Tengah dan negara yang lain. 

Produksi di tanah air sahaja sudah merangkumi 40 peratus daripada jumlah keseluruhan output global Hyundai. 

Hyundai terpaksa menghentikan sementara operasi pemasangan disebabkan kekurangan komponen pendawaian kenderaan (wiring harnesses) yang diambil secara terus dari kilang Hyundai di China.

Dua daripada pembekal yang terjejas, Kyungshin dan Yura Corporation sedang bertungkus lumus menggandakan operasi kilang di Korea Selatan dan Asia Tenggara bagi menampung bekalan yang terjejas dari China. 

Kedua-dua syarikat tersebut turut merancang untuk menyambung semula operasi di China pada 9 Februari ini.

Sumber: Automotive News Europe 1, 2

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  “Selamat kembali Lion Air atau kod JT ke KLIA! Ia bakal mengendalikan penerbangan harian…
Berita Domestik
  Acara berkenaan terpaksa ditunda sebagai langkah berjaga-jaga, malah keputusan tersebut dibuat…
Berita Global
  Namun, rantaian bekalan penting yang saling berkaitan di seluruh dunia itu terjejas selepas…