W Motors lancar Ghiath Smart Patrol untuk polis Dubai

oleh Mohamad Hanif|
Lykan Hypersport dan Fenyr SuperSport merupakan antara produk W Motors yang kita kenali, namun syarikat automotif Dubai itu tidak mengehadkan produk mereka kepada hypercar eksotik semata-mata.

Terbaharu, mereka melancarkan sebuah SUV yang dinamakan sebagai Ghiath Smart Patrol menggunakan asas daripada Nissan Patrol.

Menariknya, SUV Ghiath ini direka khusus untuk kegunaan pasukan polis Dubai!

Selain menampilkan liveri Dubai Police, Ghiath Smart Patrol turut dipasangkan dengan gugusan lampu mata arah pada bahagian gril, bumbung, pintu belakang, serta penampilan yang lebih agresif dan ranggi untuk sebuah kereta polis.
 

Ghiath


Beberapa komponen didapati masih lagi menggunakan peralatan asal Nissan Patrol, seperti roda stereng, tombol pemilihan mod 4WD dan kawalan iklim.

Namun, W Motors telah menambah skrin kluster instrumen digital aftermarket, skrin tengah yang besar, sistem komunikasi polis, dan skrin tambahan pada bahagian penumpang yang mampu memaparkan rakaman daripada kamera keselamatan sekeliling badan.

Pihak W Motors tidak mendedahkan perincian trenkuasa SUV ini, namun secara standard, Nissan Patrol dikuasakan oleh enjin V8 5.6 liter yang mampu menghasilkan 400 hp (428 hp dalam versi Patrol Nismo) yang disalurkan kepada empat roda menerusi transmisi automatik tujuh kelajuan.

Selain untuk kegunaan polis Dubai, Ghiath Smart Patrol bakal ditawarkan untuk kegunaan pihak berkuasa seperti SWAT, pasukan penyelamat dan responder pertama.