VW Transporter T6.1 Sportline Black Edition - penampilan sporti, siap suspensi Eibach!

oleh Mohamad Hanif|
Di pasaran Eropah, Volkswagen Transporter T6.1 merupakan antara pilihan van pelbagai fungsi yang popular untuk dijadikan sebagai kuda kerja, atau sebagai campervan dengan penampilan yang lebih sporti.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, untuk anda yang mahukan sesuatu yang lebih sporti, Volkswagen kini hadir dengan varian T6.1 Sportline serta varian khas Black Edition dengan penambahan aksesori yang lebih mengancam.

VW Transporter T6.1 Sportline mendapat ciri seperti penampilan trim berwarna merah, rim aloi yang garang bersaiz 18 inci dilayangkan warna hitam berkilat, kit badan, spoiler bumbung, dan sistem suspensi yang mampu merendahkan van ini sehingga 30 mm.

Di bahagian dalaman pula, varian Sportline ini mendapat balutan kulit Nappa sarang lebah dengan trim suede, tempat duduk dengan pemanas terbina, sistem audio dipertingkatkan, dan bantuan keselamatan seperti kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan automatik, penderia parkir depan dan belakang dan kamera undur.

Tak cukup?

 


Anda boleh juga mendapatkan varian Sportline Black Edition yang menambah beberapa elemen warna hitam seperti tinta cermin, bar sisi matte black, rim aloi eksklusif, serta gegelung suspensi daripada Eibach!

Volkswagen Transporter T6.1 Sportline datang standard dengan enjin 2.0 liter TDI yang menghasilkan 201 kuasa kuda, padanan transmisi DSG tujuh kelajuan dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat.

Versi Sportline ini boleh didapati pada model van panel dan van Kombi, serta konfigurasi jarak antara roda pendek mahupun yang lebih panjang.

Harga jualan pula bermula dari £42,940 (RM244,837) sementara Sportline Black Edition pula hanya ditawarkan dalam versi jarak antara roda pendek sahaja dengan harga jualan £49,450 (RM281,956).