
Tahun kelima di pasaran, VW giat menguji Touareg 2023 di Swedish Lapland sebelum diperkenalkan di khalayak ramai pada musim panas akan datang.
Walaupun dengan pelekat samaran, VW berterus terang Touareg 2023 adalah versi naik taraf model sedia namun dengan perubahan visual dan casis.
Bahagian depan menggunakan lampu matrik IQ.LIGHT HD yang terdiri daripada 38,400 LED mikro pada kedua kanan dan kiri lampu.

Prestasi nyalaan dan suluhan lebih baik untuk pemanduan pada waktu malam selain diserikan sebaris lampu LED pada gril.
Selain itu, Touareg menjadi model VW pertama menggunakan logo bercahaya pada belakang kereta.
Sebelum ini logo bernyala hanya dibenarkan di beberapa pasaran seperti China dan Amerika Syarikat.
Sejak Januari lalu VW mula menggunakan logo dengan nyalaan merah selepas diluluskan di Eropah.

Seperti yang dinyatakan, VW mempertingkatkan casis model 2023 di antaranya penggunaan sensor muatan bumbung yang dihubungkan dengan set elektronik casis.
Di antara kelebihan Touareg menjadi lebih lincah apabila tiada muatan pada bumbung.
Apabila kotak bumbung dipasang, sensor akan menghantar maklumat kepada sistem bantuan seperti Kawalan Penstabilan Kenderaan (ESC) dan meningkatkan kestabilan Touareg.
Set suspensi standard dengan gegelung besi dan suspensi udara (pilihan) diberi penalaan baharu.

Pada bahagian dalam, VW melengkapi Touareg 2023 dengan Innovision Cockpit yang dioperasi melalui skrin sentuh berukuran 15 inci.
Tetapan juga boleh dibuat melalui stereng dan suis analog pada konsol tengah.
Di antara fungsi Innovision Cockpit yang ditawarkan ialah navigasi berketepatan lorong dan peta resolusi tinggi.

Integrasi aplikasi telefon pintar dan sambungan Apple CarPlay atau Android Auto boleh dibuat tanpa wayar.
Selain itu, VW telah menambah baik perehat lengan dan panel konsol tengah yang kini lebih lembut dan selesa dan dibuat berdasarkan maklum balas pengguna.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
