VW Samba Bus ditukar jadi van elektrik, bakal ditawar kepada umum

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kepada peminat van klasik lama ini ada sesuatu yang istimewa untuk anda. Volkswagen Commercial Vehicles (VWCV) memperkenalkan e-BULLI iaitu sebuah Samba Bus T1 yang diubah suai kepada van elektrik.

Projek ini adalah kerjasama dengan eClassics dari Jerman dan syarikat itu merancang untuk menawarkan unit ubah suai atau siap e-BULLI kepada mereka yang berminat.

Bagi menjadikannya realiti, jurutera dan pereka VWCV telah menubuhkan satu pasukan bersama pakar sistem pemanduan Volkswagen Group Components dan eClassics yang merupakan pakar pengubahsuai kereta elektrik.

Pasukan pembangunan projek ini telah memilih sebuah Samba Bus T1 yang dikeluarkan di Hannover pada 1966. Sebelum dijadikan projek, van ini berada selama setengah dekad di California.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Volkswagen e-BULLI

 

Menjadikannya sebuah van klasik dengan teknologi moden, enjin boxer 44 PS digantikan oleh motor elektrik Volkswagen berkuasa 83 PS. 

Suatu yang mengujakan apabila daya kilas terus melonjak kepada 212 Nm iaitu lebih sekali ganda daripada kuasa asal 102 Nm.

Sebagaimana seperti kereta elektrik lain, daya kilas maksimum itu boleh dirasakan serta-merta. 

Dari segi kelajuan, e-BULLI boleh mencecah sehingga 130 km/j yang dihadkan melalui kawalan elektronik berbanding 105 km/j pada model asal.

 

Volkswagen e-BULLI

 

Pengagihan kuasa dibuat melalui kotak gear satu kelajuan. Tukaran gear dibuat melalui tombol di antara pemandu dan penumpang yang mempunyai seleksi P, R, N, D, B.

Sama seperti T1 asal, kombinasi kotak gear dan motor elektrik dipasang pada bahagian belakang yang juga memacu roda belakang. 

Bateri jenis lithium-ion digunakan untuk membekalkan tenaga kepada motor elektrik dan mempunyai kapasiti 45 kWh. 

Bateri itu boleh dicas menggunakan soket combined charging system (CCS) untuk arus terus atau dua arah (alternating).

 

Volkswagen e-BULLI

 

Bergantung kepada sumber yang ada, pemandu boleh mengecas dengan kuasa 2.3 hingga 22 kW dan berkapasiti tinggi sehingga 50 kW.

Menggunakan pengecas berkuasa, masa yang diperlukan untuk mencapai kapasiti sehingga 80 peratus hanya dalam 40 minit sahaja. Jarak perjalanan cas penuh ialah lebih daripada 200 km.

Selain kerja penukaran nadi kuasa, para jurutera turut mereka semula bahagian casis. Gantungan depan menggunakan set multi-link dan gandar belakang dipasang penyerap hentak boleh laras.

 

Volkwagen e-BULLI

 

Turut baharu ialah sistem stereng rack-and-pinion dan empat brek cakera supaya sepadan dengan kuasa lebih tinggi.

Kepada yang berminat untuk membuat tinjauan harga, eClassics menawarkan pelbagai pakej ubah suai atau siap sepenuhnya termasuk model T2 dan T3. 

Harga permulaan ialah dari 64,900 euro atau bersamaan RM304,216. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin