VW Nivus 2021 - crossover coupe dari platform Polo, untuk pasaran Amerika Selatan

oleh Mohamad Hanif|
Tidak perlu salahkan pengeluar kerana kerap memperkenalkan model-model crossover jika itu sebenarnya yang dimahukan oleh pengguna.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Volkswagen Nivus 2021 merupakan model crossover terbaharu yang dibangunkan di Brazil untuk pasaran benua Amerika Selatan, berkongsi platform MQB yang turut digunakan bagi model Polo dan sedan Virtus (Polo versi sedan/Vento).

Difahamkan juga, VW Nivus ini akan membuat kemunculan di beberapa pasaran global seperti Eropah menjelang separuh kedua tahun 2021.

 


Dari segi penampilan, ia dilihat membawakan penampilan yang ranggi, terima kasih kepada jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, serta pemakaian cladding plastik di sekeliling kenderaan.

Set rim pula adalah standard 17 inci.

Walaupun dipasarkan sebagai sebuah crossover coupe dan dengan garis bumbung yang rendah, Nivus masih mampu menawarkan ruang kargo yang terbesar di dalam kelasnya, iaitu 415 liter, hampir menyamai ruang yang ditawarkan oleh Kia Seltos (433 liter).

 


Ruang dalaman banyak membawakan persamaan dengan model Polo, malah rekaan papan pemuka diambil secara terus daripada model tersebut yang menampilkan skrin sentuh bersaiz 10 inci tanpa kehadiran butang fizikal, paparan Active Info Display 10.25 inci, serta sambungan kepada Android Auto dan Apple Car Play.

Sistem operasi pula adalah daripada VW Play yang dibangunkan secara ekstensif di Brazil yang menawarkan perkhidmatan penstriman lagu, sistem navigasi, serta aplikasi seperti buku audio, insurans, penghantaran makanan (!) dan sebagainya.

 


Untuk crossover terkecil ini, VW membawakan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo TSI yang menawarkan dua output, iaitu 114 kuasa kuda dan versi 200 TSI yang menghasilkan 126 hp/200 Nm dan mampu menerima bahan api ethanol.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan roda hadapan sahaja menerusi transmisi automatik.

Ciri keselamatan yang dilengkapkan merangkumi Kawalan Kestabilan Elektronik, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Pelayaran Adaptif, Brek Kecemasan Autonomi, serta ciri kemasukan dan bantuan mula tanpa kunci (KESSY).

 


VW Nivus 2021 dibina di kilang produksi Anchieta, São Bernardo do Campo, Brazil.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut VW, Taigo 2022 merupakan SUV coupe pertama yang dilancarkan di bawah segmen kenderaan kecil…