VW ID. LIFE - konsep hatchback urban yang bakal jadi kenyataan 2025

oleh Mohamad Hanif|
Sejak daripada dulu, kereta merupakan satu alat untuk manusia bergerak dari titik A ke titik B, namun perubahan zaman menjadikan fungsi kereta lebih daripada sekadar itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Volkswagen ID. LIFE merupakan jawapan Volkswagen kepada permintaan pelanggan yang mahukan sebuah kereta dengan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh dan mampu memenuhi gaya hidup urban.

Ia juga secara tidak langsung memberikan bayangan model ID baharu yang bakal dilancarkan pada tahun 2025 dengan harga jualan sekitar €20,000 (RM98,000).
 

ID


Dibangun menggunakan pelantar MEB, VW ID. LIFE merupakan model pertama yang menggunakan konfigurasi pacuan roda depan, di mana motor elektrik tunggal menghasilkan 230 hp dan membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat.

Pek bateri 57 kWh pula membolehkan pemanduan sehingga 400 km yang cukup sesuai digunakan di dalam laluan urban.

Rekaan ID. LIFE menggandingkan elemen retro, kotak dan hatchback yang moden, di mana lampu LED depan dan belakang, logo VW dan bar lampu dilihat diintegrasikan dengan baik pada panel badan.
 

ID


Selain daripada itu, penggunaan lapisan jernih pada cat kereta ini menampilkan serpihan kayu yang bertindak sebagai ejen pewarnaan asli yang digunakan bersama-sama pengeras berasaskan bio.

Sementara lapisan bumbung tekstil yang boleh dibuka ini diperbuat daripada 100 peratus botol PET yang dikitar semula.

Ruang kabin ID. LIFE ini menampilkan ciri yang tersendiri, seperti skrin projektor yang boleh disimpan dalam papan pemuka, dan mampu menutupi keseluruhan ruang cermin hadapan apabila sedang digunakan.
 

ID


Terdapat sebuah projektor yang mampu memancarkan paparan multimedia sebesar 34 inci yang boleh digunakan untuk permainan video, atau menonton filem.

Untuk memastikan keselesaan ketika menikmati kandungan video, terdapat mod yang dinamakan sebagai 'cinema mode' di mana struktur tempat duduk hadapan dipastikan boleh dilipat rata untuk dijadikan sebagai tempat perehat kaki ketika penumpang duduk di baris kedua.

Untuk tujuan yang berbeza, tempat duduk belakang boleh dilipat rata bersama-sama dengan tempat duduk hadapan untuk mencipta ruang 'tidur' sepanjang 2 meter.
 

ID


Jika anda perasan, tiada sebarang skrin infotainmen dimuatkan, ini kerana VW ID. LIFE hanya bergantung kepada sokongan peranti pintar yang boleh dijadikan sebagai sistem infotainmen, dan mengawal fungsi yang terdapat pada kereta ini.