Tidak seperti R-Line dan GTI juga, Golf R ini datang dengan harga yang lebih tinggi dari dahulu - RM357,584 atas jalan dengan insentif cukai jualan SST berbanding dengan RM295,990 untuk Golf R Mk7.5 dahulu.
Ini ialah satu peningkatan yang sangat mendadak tetapi dengan status R yang diidamkan ramai, dan dengan jumlah yang terhad yang bakal dibawa masuk (tidak diberitahu berapa unit, tetapi desas desus mengatakan cuma 150 unit sahaja untuk Malaysia), Careta yakin Golf R Mk8 ini tidak ada masalah untuk dijual.
Masih menggunakan enjin EA888 2.0L TSI tetapi kini menghasilkan 320PS dan 400Nm, lebih tinggi dari Golf R Mk7.5 pada 300PS dan 380Nm. Ia juga menggunakan transmisi 7-kelajuan DSG dan sistem 4Motion AWD.
Prestasinya memang sudah cukup menginzalkan sesiapa sahaja - 0 ke 100kmsj dalam 4.8 saat (sudah masuk kepada kategori prestasi supercar) dan halaju yang dihadkan kepada 250 kmsj agar nampak jenama ini "prihatin" kepada keselamatan jalanraya.
Perlu diterangkan bahawa Golf R untuk Malaysia sebenarnya 20Nm lebih rendah dari model yang sama di Eropah. Talaan yang lebih rendah terpaksa dilakukan agar enjin lebih sesuai dengan kualiti bahanapi tempatan tetapi jangan cepat melatah kerana Australia juga menerima nasib yang sama.
Sistem yang mampu membuat anda terliur ialah R-Performance Torque Vectoring di mana ia kini mampu memastikan 100 peratus tenaga disalurkan kepada kedua roda di bahagian luar selekoh! Selalunya, cuma 50 peratus akan dibahagikan antara roda kiri dan kanan tetapi kini, kedua dua roda di sebelah kiri atau kanan boleh menerima kesemua tenaga enjin.
Ini dilakukan agar Golf R ini lebih lincah dan stabil di selekoh pada kelajuan tinggi.
Selain dari itu, sistem kawalan Vehicle Dynamics Manager juga mengawal diff-lock elektronik dan penyerap hentak DCC untuk memantapkan lagi pengendalian. Namun begitu, untuk pemandu yang hanya berlagak di laluan lurus, kesemua itu tidak penting kerana mereka selalunya menekan pedal brek 5km dari selekoh.
Bagi memastikan teman wanita jiran anda tahu Golf anda ialah R dan bukannya GTI milik penuntut kolej swasta atau R-Line milik makcik di hadapan ruman, Golf R Mk8 datang dengan roda aloi Adelaide sebesar 19-inci dan tiga warna - biru Lapiz, hitam Deep dan putih Pure.
Jika anda peminat corong ekzos, Golf R memang sesuai kerana ia mempunyai bukan dua, bukan tiga tetapi empat corong ekzos yang memang berfungsi.
Golf R Mk8 datang dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, servis percuma tiga tahun dan bantuan jalanan lima tahun.
Dapatkan sebelum stok habis. Oh untuk bacaan anda sebelum tidur, muat turun risalah dan spesifikasi penuh Golf R Mk8 pada pautan di bawah.
/sites/default/files/VW%20Golf%20R%20Spec%20Sheet.pdf