VW Golf R Mk7.5 - 0-100 dalam 5.1 saat tetapi masih boleh ke pasar dengan santai

oleh HEZERI SAMSURI|
Setelah memandu uji Golf R-Line dan Golf GTI, boleh kita katakan Golf tetap Golf, di mana ia selesa dan praktikal.

Ia adalah kenderaan yang boleh kami gunakan untuk tugas-tugas harian - menghantar anak ke sekolah, pergi ke pejabat, membawa pelanggan ke restoran mewah, pergi ke pasaraya membeli barangan dapur dan bila perlu, dibawa memecut ke selekoh-selekoh menarik di Jalan Ulu Yam atau di Kuala Kelawang. 
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun begitu, bagaimana pula jika ada yang mahukan sesuatu yang lebih bertenaga, yang lebih lincah, yang lebih, ooomph.

Volkswagen sudah pun memikirkannya dan kerana itu Golf GTI mempunyai abangnya - Golf R, hatchback luarbiasa yang mampu membuatkan pemilik-pemilik supercar berkerut di dahi dan berpeluh di ketiak untuk menghalang R ini dari memalukan mereka.

 

 

Resipi Golf R yang asal ialah enjin 3.2L dalam Golf R32 Mk4. Untuk R32 Mk5, enjin sama digunakan tetapi diperhalusi.

Penulis pernah memandu-uji Golf R32 Mk4 dan cukup untuk dikatakan, ia memang sebuah kenderaan yang laju cuma RPM perlu dipastikan berada di dalam power-band agar ia sentiasa bersedia untuk lari dari Honda-Honda bikin.

Ketibaan Golf R Mk6 menyaksikan masalah kurang tenaga pada RPM rendah itu hilang kerana VW membuang enjin 3.2L itu dan menggunakan enjin 2.0L turbo 4-silinder.
 

 

 

Tindakan itu memang mengundang kecaman dari peminat Golf R tetapi bila Mercedes-Benz sendiri menghasilkan A45 AMG, ramai terdiam.

Maka bermulalah peperangan kereta hatchback sporti dengan enjin 2.0L 4-silinder turbo dan di Malaysia, ia terdiri dari Golf R ini, Mercedes-Benz A45 AMG dan Honda Civic Type-R 2018.

Dari ketiga-tiga itu, pastinya anda perasan bahawa Golf R mempunyai rekabentuk yang paling minimalis. 

 

 

Ia tidak mempunyai kepak dan sayap seperti roket dari cerita kartun The Jetsons. Ia tidak ada warna atau garisan sticker yang menjerit-jerit. Malah, logo R itu juga halus dan kecil, cuma kelihatan bila rapat dengannya.

Ini penting kerana yang mampu membeli hatchback mantap yang berharga RM278,888 (tanpa GST atau SST) ini kebanyakannya ialah mereka yang sudah berusia lebih dari 40 tahun. Mereka ini tidak mahu kelihatan seperti memandu sebuah kereta bikin milik anak saudara mereka.

Pemilik Golf R sudah tahu mereka hebat dan mereka tidak berlu bantuan, baik dari segi pil atau dari segi bodykit dan kepak dari space shuttle. 

Biarkan anak-anak dengan mainan mereka.

 

 

Baiklah, dari segi prestasi, enjin EA888 2.0L turbocharged TSI ini sama dari Golf R Mk7.0 tetapi ditingkatkan kepada 290 hp (10 hp lebih dari dahulu) dan 380 Nm.

Transmisi masih lagi DSG dengan klac basah tetapi kali ini, ia membawa 7 nisbah kelajuan (dahulunya 6-kelajuan). 

Namun begitu, prestasi kekal sama dengan pecutan 0-100 kmsj dalam 5.1 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 kmsj (ada bengkel yang mampu membuka "kunci" batasan ini).

Dengan transmisi 7-kelajuan, pemanduan di atas ,lebuhraya menjadi jauh lebih selesa kerana enjin berputar pada kelajuan RPM yang rendah. 

 

 

Tetapi apa yang lebih penting dalam permainan kenderaan sporti ini ialah ego dan nombor-nombor yang dihasilkan sangat penting bagi pemilik-pemiliknya.

Mari kita bandingkan Golf R ini dengan yang lain.

  • Mercedes-Benz A45 AMG:     381hp dan 475Nm RM329,756.19
  • Honda Civic Type-R 2018:      310hp dan 400Nm RM301,928.00
  • Volkswagen Golf R 2018:        290hp dan 380Nm RM280,060.00

Anda boleh nampak bahawa Golf R ini mempunyai harga yang paling mampu milik tetapi jumlah tenaga yang paling rendah dihasilkan.

 

 

Namun begitu, jangan terus memandang rendah kepada Golf ini kerana di atas jalanraya, Golf R ini jauh lebih memudahkan anda untuk menggunakan kesemua 290 hp dan 380 Nm itu kerana Volkswagen mengekalkan sistem pacuan 4-roda 4Motion yang lebih bijak dari kebanyakan sistem pacuan 4-roda dalam kereta-kereta prestasi yang lain.

Hasilnya ialah sebuah Golf yang mampu membuat anda tergelak kerana kebolehannya melekat di selekoh dalam apa kelajuan pun.

Jika anda pernah mendengar pemilik BMW M3 bercerita tentang sebuah Golf yang boleh melarikan diri dari mereka di selekoh, percayalah - ia pasti Golf R.

 

 

Dengan pengecaj turbo yang menjana boost yang tinggi, Golf R ini sukar untuk duduk diam.

Berbanding dengan Golf GTi yang lebih santai tetapi tetap laju, Golf R memecut dengan kadar yang jauh lebih tegar dalam keadaan gear apa atau kelajuan mana pun.

Untuk lebih pecutan lebih cepat, gunakan fungsi Launch Control dan anda boleh rasai perasaan menaiki roket ke bulan.

Cuma yang ini lebih baik dari roket kerana jika roket hanya bergerak menegak, Golf R ini masih boleh mengekalkan pecutan dan kelajuan di jalan yang berbelit-belit.

 

 

Tidak pernah penulis merasa sebuah kenderaan hatchback mampu melekat ke jalanraya seperti Golf R ini. Mungkin ada, tetapi jentera-jentera perlumbaan atau supercar dengan harga jutaan Ringgit.

Atau mungkin seperti sebuah Lotus Evora S, cuma Evora itu masih perlukan sedikit kawalan pemandu berpengalaman untuk mengambil selekoh sepantas ini kerana Lotus itu adalah kenderaan pacuan roda belakang. 
 
Cuma Evora itu berharga sekurang-kurangnya dua kali ganda dari harga sebuah Golf R dan kualiti kabin Lotus itu seperti sebuah Saga LMST yang dipasang oleh seorang pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Vokasional.

 

 

Selama beberapa hari penulis bersama Golf R ini, penulis seolah-olah kehilangan arah kerana tidak tahu lagi bagaimana henda menguji Golf R ini. 

  • Ia sangat pantas di laluan lurus.
  • Ia memotong kesemua kenderaan lain di laluan berliku.
  • Ia mempunyai cengkaman yang melampau tinggi pada permukaan jalanraya.
  • Ia membuatkan pemandu rasa yakin dan selamat.
  • Ia pandai untuk kelihatan bersahaja, dan ini terbaik dalam mengumpan pemandu propa dengan kereta "power" mereka.

Dari segi keselesaan, ia memang terasa lebih keras dari Golf GTI, tetapi jika dibandingkan dengan Civic Type R dan A45 AMG, Golf R paling selesa.

 

 

Jika jiran sebelah rumah anda menggunakan Golf R Mk7 terdahulu, anda masih boleh berbangga kerana Golf R Mk7.5 ini mempunyai beberapa kelainan:

  • Bamper depan/belakang baharu
  • Lampu hadapan LED
  • Lampu belakang baharu
  • Panel meter jenis LCD sepenuhnya
  • Skrin sesentuh bersaiz 12.3 inci yang lebih menarik dari A45 AMG sendiri.
  • Balutan kulit R Vienna

Cuma mungkin Mk7 mempunyai bumbung panoramik yang cantik dan membolehkan penumpang mereka mengkaji bulan dan bintang.

Golf R Mk7.5 menggunakan bumbung biasa yang lebih ringan - memperbaiki prestasi pecutan dan pengendalian yang lebih penting dari melihat langit dan bintang.

 

 

Bunyi enjin Golf R ini memang menarik perhatian penumpangnya. Duduk di dalam R Mk7.5 dan semua akan berkata bunyi enjinnya lazat dan umpama sebuah enjin V8.

Benar, memang ia ditala untuk menghasilkan bunyi enjin V8 cuma bunyi itu dihasilkan oleh sistem komputer dan disampaikan melalui sistem audio dan pembesar suara di dalam Golf R Mk7.5 ini.

Dalam erti kata lain, ia adalah bunyi palsu. 

 

 

Cuba buka tingkap dan keluarkan kepala dan anda akan dengar sendiri enjin 2.0L turbo TSI itu langsung tidak menghasilkan apa-apa bunyi.

Ini ialah kerana kenderaan Eropah perlu melepasi piawaian bunyi yang ketat di sana, tetapi kerana pembeli dan pemandu kenderaan prestasi mahukan bunyi enjin, maka jalan terbaik ialah menggunakan komputer untuk menghasilkan bunyi itu untuk penumpang di DALAM kabinnya.

Malah, pemandu boleh memilih jenis bunyi enjin yang mahu dihasilkan. Sehari dua, terasa seronok mendengar bunyi palsu itu tetapi masuk hari ketiga, terasa seperti mengada-ngada pula.

Kalaulah kaum isteri mempunyai fungsi kawalan suara seperti Golf R ini ...

 

 

Secara kesimpulannya, Golf R mungkin model paling sporti dan paling laju dan paling berkuasa di dalam keluarga Golf, tetapi ia tetap praktikal, selesa dan boleh digunakan setiap hari.

Jelas sekali Golf R ialah satu pembelian yang berbaloi dan satu keputusan yang diambil menggunakan akal - bukan hati.

Walaupun di atas kertas ia tidak selaju rakannya dari Mercedes-Benz atau dari Honda, tetapi bukan mudah untuk mengalahkannya di atas jalanraya sebenar.

 

 

Paling menarik, duit lebih yang anda dapat jimatkan dari harga A45 AMG dan Civic Type R itu anda boleh gunakan untuk membeli sebuah superbike.

Dan anda kembali menjadi lebih "motorsport" dari mereka-mereka itu bukan? 

 

 

Volkswagen Golf R Mk7.5 2018

Enjin
EA888 1,984cc Direct Injection Turbocharged
Kuasa maksimum
290 hp @ 5,500 - 6,500 rpm
Tork maksimum
380 Nm @ 2,000 - 5,400 rpm
Transmisi
DSG-7 speed direct shift wet clutch
Saiz tangki bahan api
55 liter
Penggunaan bahan api
6.9L/100km (purata)
Sistem gantungan
Adaptive Chassis Control (DCC)
Driving Mode Selection (DMS)

Saiz tayar
235/35 R19

Harga
RM280,060 atas jalan tanpa insurans dan SST

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…
Berita Global
   Volkswagen ID.3 GTX Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan…