
Ini bukan sebuah lagi Golf R kerana TCR pada nama model tersebut merujuk kepada siri Touring Car Racing (TCR) antarabangsa di mana sudah dua kali Golf menjuarai perlumbaan tersebut.
Dari segi hirarki, Golf GTI TCR kini berada di kedudukan teratas varian GTI di UK.
Ini juga bukan sekadar model tempelan pelekat TCR kerana dari segi prestasi ia berkuasa 290 PS. Kuasa tersebut diagihkan kepada transmisi klac berkembar DSG tujuh kelajuan.
Kuasa 290 PS tersebut dihamburkan pada 5,400 rpm manakala daya kilas 380 Nm boleh dirasai dari serendah 1,800 rpm hingga 5,300 rpm.
Serakan kuasa tujahan sebenarnya bermula lebih rendah iaitu 200 Nm pada 1,000 rpm.

Daya pecutan dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 5.6 saat manakala kelajuan maksimum ialah 250 km/j dan boleh ditingkatkan kepada 264 km/j dengan pakej tambahan.
Angka-angka tersebut seperti sebuah kereta lumba yang tidak sabar-sabar untuk digunakan kuasanya ditambah pula dengan karakter transmisi DSG.
Di bawah ialah lagi ciri-ciri VW Golf GTI TCR:
- Dilengkapi standard dengan roda aloi 18 inci Quaranta bersama tayar 225/40 R18
- Bampar depan dan belakang dengan tambahan spoiler dan splitter bawah
- Cermin sisi hitam kusam dan grafik TCR pada bahagian sisi belakang
- Kerusi TCR dan stereng balutan kulit dan penanda merah ala kereta lumba
- Kemasan Alcantara pada pintu dan tombol gear
- Logo TCR yang dipancarkan pada jalan raya apabila pintu dibuka
- Brek berprestasi tinggi dengan cakera bercorak dengan pelapik brek istimewa
- Sistem penyejukan yang ditambah baik dengan tambahan dua radiator air di depan sama seperti Golf R 4MOTION awd 300 PS
- Warna Pure Grey yang pertama untuk GTI
- Pilihan grafik bercorak sarang lebah pada bahagian sisi kereta dan bumbung hitam

Jika pemilik mahu lebih eksklusif, VW menawarkan pek pilihan bernilai £2,000 (RM 10,642) yang terdiri daripada roda aloi Reifnitz 19 inci, suspensi 20 mm lebih rendah dan sistem Dynamic Chassis Control.
Harga VW Golf GTI TCR di UK bermula dari £34,135 atau bersamaan RM 181,632.
Walaupun Golf GTI TCR berada nun jauh di UK, tiada masalah kerana ada saja kereta dengan spesifikasi 'pelik-pelik' dibawa masuk ke negara kita oleh pengimport bebas.
*1 GBP = RM 5.321
Penulis: Muhammad Md Tajudin