VW Golf GTI Mk 7.5 - Memang ngam-ngam

oleh HEZERI SAMSURI|
Volkswagen Passenger Cars Malaysia, penjaga produk Volkswagen (VW) melancarkan varian Golf GTI MK 7.5 pada bulan Mac lalu.

Harga RM225,888 dengan GST sifar meletakkan ia dalam satu kelas dengan BMW 3-Series dan Mercedes-benz C-Class. Satu percubaan berani tetapi sebenarnya GTI memang sudah lama berada di dalam julat harga itu (walaupun Golf GTI MK5 dijual dengan harga lebih kurang RM210,000).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Jadi siapakah yang akan membeli hatchback sporty ini dan bukan sedan-sedan premium dari dua jenama gergasi tersebut?

Seminggu bersama Golf GTI Mk 7.5 ini membuktikan Golf GTI kekal sebagai sebuah legenda di dalam dunia 4-roda.

 

 

Ada yang berkata Golf GTI Mk 7.5 ini lebih merupakan satu "update" untuk model Mk 7 dan ya, benar cuma ia bukan setakat pembaharuan kosmetik tetapi kepada keseluruhan pakej GTI ini. 

Enjin 4-silinder petrol EA288 1,984 cc TSI turbo dengan Direct Injection menghasilkan 230 PS dan 350 Nm - 10 PS lebih berkuasa dari GTI Mk 7 (sama dengan opsyen Performance Pack dahulu).

Transmisi 6-kelajuan wet-clutch DSG yang dikatakan lebih lasak menjadi satu karektor utama dalam GTI. Tanpa DSG, ia tidak begitu istimewa dan tidak mengejutkan kebanyakan yang membeli kembali Volkswagen akan berkata mereka "ketagih" kepada prestasi DSG.

Bercakap mengenai prestasi, kebolehan athletik Golf GTI Mk 7.5 ini sangat memberangsangkan: pecutan 0-100 kmsj dilakukan dalam 6.4 saat dan halaju maksimum ialah 248 kmsj. Ya, hampir 250 kmsj.

 

 

Dari segi luaran, GTI MK 7.5 memang nampak jauh lebih hebat kerana bamper baharu depan dan belakang yang "ganas" dan lebih kemas.

Lampu Bi-Xenon dahulu digantikan dengan jenis Advanced Adaptive LED, lengkap dengan Dynamic Light Assist dan Dynamic Cornering Lights.

Apa yang anda perlu tahu ialah lampu hadapan ini menggunakan teknologi LED, mampu "membaca" keadaan jalanraya dan melemparkan cahaya dengan lebih jauh serta turut boleh menerangi selekoh yang sedang dituju. 

 

 

Paling penting, lampu baharu ini mempunyai garisan astetik warna merah yang bersekali dengan garisan merah pada gril hadapan. Ditambah dengan lampu LED DRL, ia "emang lagi syantik, tapi bukan sok syantik".

Lampu belakang pula ialah dari jenis LED sepenuhnya, dan ya, dengan lampu penunjuk Dynamic (seperti pada Audi) agar nampak lebih "jeng". Ya, tiada siapa yang mahir bermain dengan lampu DRL jika bukan dari Kumpulan Volkswagen. 

Selain dari itu, lampu kabus LED turut diberikan, depan dan belakang.

 

 

Seperti biasa, bodykit, spoiler belakang, corong ekzos berkembar disalut krom dan logo-logo GTI wujud di sekeliling model ini untuk memastikan jiran anda tahu ini ialah GTI, bukan varian TSI biasa. Dengan lampu baharu depan belakang, sukar dan mahal untuk menghasilkan GTI varian C (celup). 

Roda aloi atau lebih dikenali sebagai sport rim ialah dari model Milton Keynes bersaiz 7.5J X 18-inci, dan disaluti dengan tayar 225/40 R18 - depan dan belakang. Ini lebih murah untuk diganti dari jenis saiz "staggered" (saiz depan dan belakang berbeza).

 

 

Sayang sekali kerana pasaran tempatan tidak mahukan tempat duduk fabrik dengan corak garisan "tartan" yang sinonim dengan GTI. Di sini, dengan harga menghampiri suku juta RM, ramai yang lebih sukakan balutan kulit dan VW memberikan Vienna Leather yang terasa mewah dan juga berbau mewah. 

Skrin sesentuh 8.0-inci untuk sistem Discover Media di dalam GTI ini mempunyai pelnbagai fungsi termasuk kebolehan navigasi dan juga boleh disambungkan ke telefon pintar melalui Apple Car Play, Android Auto atau Mirror Link.

 

 

Tujuh beg udara, ABS, EBD, ASR, APCBS, ESC, EDTC, XDS, HHC, ICRS, POPS, TPLI dan segala macam teknologi keselamatan berteraskan elektronik wujud untuk memastikan GTI ini selamat.

Mungkin kerana ia sebuah varian berteraskan prestasi, maka kadar keselamatan ditingkatkan.

Diharapkan jangan pula ada pemandu yang ingat teknologi keselamatan yang tinggi itu membolehkan mereka memandu dengan lebih laju di kawasan awam kerana apa pun, undang-undang fizik tidak boleh dilawan. Jika kelajuan melebihi cengkaman, maka terpesonglah GTI itu.

Sistem Driving Mode Selection memberikan lima mode pemanduan untuk dipilih dan mode Individual memang boleh diubah mengikut selera pemandu. Begitu juga dengan Dynamic Chassis Control atau DCC yang membenarkan anda mengubah sistem gantungan agar fokus diberikan kepada keselesaan atau prestasi mengambil selekoh yang lebih agresif.

 

 

Umum mengetahui bahawa GTI bukan satu-satunya varian prestasi untuk model Golf. Di atasnya ada Golf R yang lebih fokus kepada pemanduan agresif, prestasi enjin dan pengendalian. Oleh itu, GTI ini ialah varian sporty dalam keluarga Golf.

Namun begitu, Golf dengan enjin 1.4L TSI itu sendiri sudah boleh dikatakan mempunyai pengendalian yang baik dan lebih sporty dari pelbagai pesaingnya.

Ia tidak bergoyang sakan seperti Inul Daratista bila dipandu laju di atas lebuhraya, dan masih mantap bila turun ke jalan-jalan kebangsaan yang bengkang-bengkok seperti ular dipalu.

 

 

Untuk Golf GTI, kesemua itu kita boleh gandakan dua kali. Ia lebih stabil di atas lebuhraya dan di selekoh, olengan badan jauh lebih minimum. 

Penulis sebenarnya pernah memandu Golf GTI Mk 7 semasa pelancarannya di Saint Tropez dalam tahun 2013.

VW semasa itu menekankan penggunaan platform MQB yang diguna-pakai oleh Golf GTI itu dan jalan-jalan sunyi dan kecil di pekan kecil di tepi pantai Perancis penuh dengan selekoh-selekoh yang menggiurkan.

Dengan badan yang 27 mm lebih rendah, 13 mm lebih lebar dan 55 mm lebih panjang dari GTI Mk 6, GTI Mk 7 terasa sangat lengkap semasa ujipandu media global ketika itu.

 

 

Dari kawalan roda hadapan untuk mengelakkan understeer yang memang berkesan, kerangkanya yang tidak meliuk, pecutan kuasa dari enjin 2.0L turbo yang mencukupi dan sistem gantungan yang memastikan badan tidak terhuyung-hayang di selekoh, GTI dengan platform MQB itu jauh lebih berbaloi dari setiap aspek.

Platform GTI Mk7.5 sama dengan Mk7, cuma perubahan yang diberikan ialah kosmetik, penalaan sistem gantungan agar lebih efisien, dan penambahan aksesori, harga dan tenaga tambahan yang dihambur oleh enjin petrol EA288 1,984 cc TSI turbo itu.

Segala perubahan itu menjadikan GTI ini lebih relevan dan masih seksi. Yang paling menggembirakan ialah GTI Mk 7.5 memberikan satu pakej lengkap untuk ramai pemandu di luar sana.

 

 

Ia adalah sebuah kenderaan yang cukup sporti bagi mereka yang suka gaya pemanduan agresif. Dalam masa yang sama, ia juga adalah sebuah Golf yang praktikal, selesa dan mempunyai kelengkapan yang lengkap untuk menjadikan ia sebuah kenderaan harian untuk pemandu biasa.

Dalam erti kata yang lain, ia adalah sebuah hatchback lengkap. Jika dibandingkan dengan BMW 320i atau Mercedes-Benz C200 pula, pastinya GTI mempunyai ruang but yang jauh lebih kecil.

 

 

Tidak mengapa kerana kekurangan itu diganti dengan satu fakta penting.

GTI ialah satu lagenda di dalam dunia automotif, jauh lebih menarik dan lebih eksklusif dari sebuah but besar dengan logo jenama premium yang dipandu oleh kebanyakan mereka itu. 

Dengan harga (GST sifar) RM225,888 tanpa insuran dan cukai jalan, Golf GTI Mk 7.5 ini dilengkapkan dengan waranti 5-tahun dari kilang dan bantuan jalanan percuma selama lima tahun juga serta servis penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 45,000 km.

Ada berani? 

Berita Berkenaan

Berita Global
Simbol ‘R’ ini kebanyakkanya telah digunakan pada model Arteon dan T- SUV Roc, Tiguan dan Touareg…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…