Dari segi penawaran, Golf GTI datang dengan enjin EA888 2.0 liter turbo yang menghasilkan 242 hp dan 370 Nm daya kilas, transmisi manual enam kelajuan atau DSG tujuh nisbah kelajuan.
Namun, melihatkan kepada pasaran hot hatch yang kian sengit, Volkswagen kini hadir dengan sebuah lagi model varian GTI, dikenali sebagai Golf GTI Clubsport 2021.
Sama seperti Golf GTI standard, GTI Clubsport turut ditawarkan dengan kapasiti enjin yang serupa, namun dengan angka output yang lebih tinggi iaitu 296 kuasa kuda dan daya kilas 400 Nm.
Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa kurang enam saat dan mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.
Peningkatan kuasa tersebut adalah disebabkan penggunaan komponen yang lebih baik seperti intercooler yang lebih besar, unit pengecas turbo Continental baharu dan perisian ECU yang telah ditala semula.
Golf GTI Clubsport hanya ditawarkan dalam transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan, namun dengan nisbah gear yang lebih rapat dan sistem pacuan roda hadapan sahaja.
Menambahkan lagi perbezaan antara Golf GTI adalah kehadiran komponen diff kunci elektromekanikal hadapan VAQ menggantikan sistem elektronik XDS yang ada pada Golf GTI standard, di mana diff baharu ini boleh dilaras bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih.
Para jurutera Volkswagen telah meningkatkan beberapa aspek seperti cagak roda baharu depan dan belakang, bearing peredam hentakan, dan konfigurasi spring baharu.
Ciri Dynamic Chassis Control (DCC) juga turut dinaiktaraf, di mana ia kini menawarkan sehingga 15 tetapan antara mod pemanduan Comfort dan Sport, serta mod khas yang ditala untuk pemanduan di litar Neraka Hijau, Nurburgring Nordschleife.
Cukup? Belum lagi!
Mengakhiri senarai naiktaraf aspek pemanduan adalah sistem brek yang dilengkapi angkup brek piston berkembar, manakala kawalan keselamatan seperti ABS dan sistem kestabilan kenderaan juga ditala semula bagi meningkatkan prestasi brek dan juga kestabilan kenderaan.
Dari segi luaran, Volkswagen telah melengkapkan Golf GTI Clubsport dengan rekaan bumper yang tersendiri, kehadiran splitter hadapan, roda aloi bersaiz 19 inci dan spoiler belakang jenis two-piece untuk mengurangkan daya angkat.
Sementara ruang dalaman pula, tempat duduk didatangkan dengan penawaran upholsteri serba baharu.
Harga jualan untuk Golf GTI Clubsport pula masih lagi belum didedahkan secara rasmi, namun melihatkan kepada senarai kelengkapan yang didatangkan, usahlah berharap harganya bakal menyamai model Golf GTI standard.