VW Crafter - 45 tahun 4 generasi dari van kargo kepada motorhome

oleh Muhammad Md Tajudin|
Apabila bercerita tentang model klasik keluaran Volkswagen biasanya ada dua model yang kerap disebut iaitu Beetle dan Kombi.

Usia kedua-dua model ini menjangkau puluhan tahun namun tetap mempunyai peminat tersendiri.

Harga pula terutama sekali Kombi, usah cerita kerana ia mempunyai nilai tinggi.

Selain Kombi atau juga dikenali Transporter dan Bus, VW mempunyai sebuah lagi van legenda dan menariknya dikeluarkan sehingga ke hari ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
VW LT

 

Van yang dikenali sebagai LT diraikan VW pada tahun ini sempena ulang tahun ke-45. 

LT pertama kali diperkenalkan pada April 1975 di Berlin dan dibina sebagai 'abang besar' kepada Transporter. 

LT adalah singkatan kepada Lasten-Transporter yang secara amnya bermaksud Transporter dengan beban berat.

LT ada dua jenis jarak roda, dua jenis bumbung dan pelbagai pilihan seperti van panel, wagon, bus, platform dan double cab.

 

VW

 

Sejak dilancarkan pada 1975, lebih 1.5 juta unit LT pelbagai varian dikeluarkan dan terjual di serata dunia. Sebelum itu dari mana pula datang nama Crafter? 

Nama LT digunakan sehingga generasi kedua dan pengeluarannya ditamatkan pada September 2006.

Pada tahun yang sama menyaksikan VW memperkenalkan LT generasi ketiga dengan nama baharu Crafter dan digunakan sehingga sekarang.

Berikut ialah sejarah VW LT dari generasi pertama hingga generasi keempat:

LT: 1975-1996

Dengan fokus pada ruang muatan, jurutera van VW mereka bentuk LT bernadikan enjin di depan iaitu di antara kerusi pemandu dan penumpang sisi dan di atas axle depan.

Ianya berbeza dengan enjin di belakang pada Kombi.

Melalui bentangan enjin di depan dan pacuan belakang, saiz LT kekal kompak iaitu beza 33 cm lebih panjang dan 20 lebih lebar berbanding T2 Transporter. 

 

VW LT

 

Ruang kargo pula meningkat 50 peratus kepada 7.85m3. Beberapa ciri lain turut ditambah baik seperti ergonomik dengan suis kawalan dekat kepada pemandu dan cermin depan lebih besar.

LT digerakkan enjin 2.0 liter petrol berkuasa 75 PS yang juga digunakan oleh Audi 100. Satu lagi pilihan ialah enjin diesel 2.7 liter 65 PS. 

Pada 1979, VW memperkenalkan enjin enam silinder yang pertama dengan sesaran 2.4 liter dan tambahan kuasa 8 PS.

Lagi maklumat menarik tentang VW LT: 

  • Menggunakan suspensi depan jenis bebas dan menjadi norma baharu dalam segmen bertahun kemudian
  • Papan pemuka direka semula pada tahun 1983 dan menggunakan enjin baharu yang menjadikannya van paling berkuasa di Eropah
  • Olahan semula ruang membolehkan kerusi ketiga ditambah pada kabin
  • Model dengan jarak roda 4.6 meter diperkenalkan untuk ubahsuai pelbagai kegunaan
  • Pada 1985, varian 5.6 tan diperkenalkan dengan pacuan empat roda boleh ubah
  • Lampu petak menggantikan lampu bulat
  • Model facelift terakhir diperkenalkan pada 1993 dengan kelengkapan baharu seperti gril radiator, lampu belakang dan enjin turbo diesel yang disemak semula

 

VW LT

 

Dengan kualiti, reliabiliti dan ruang luas dalam pakej kompak, LT menjadi model popular untuk dijadikan motorhome.

Pada 1988, VW memperkenalkan van California dan motorhome Florida yang boleh memuatkan empat orang dan bilik basah.

LT generasi pertama yang ikonik ini akhirnya ditamatkan pada 1996 selepas 21 tahun di pasaran dengan jualan global lebih 470,000 unit.

LT2: 1996-2006

LT2 mencatat sejarah dengan menjadi model baharu pertama di bawah jenama khas yang baru ditubuhkan iaitu Volkswagen Commercial Vehicles. 

Satu lagi sejarah penting apabila LT2 dibangunkan dengan kerjasama Mercedes-Benz. LT2 menggunakan enjin diesel yang dipasang di bawah bonet depan dan bukan lagi di bawah kerusi.

VW LT 2

LT2 adalah sebuah van versatil dengan pelbagai varian seperti van panel, wagon, bas, double cab, jarak roda dan berat di antara 2.6 tan dan 4.6 tan.

Van ini dikuasakan enjin TDI yang ekonomikal, berkuasa dan boleh diharap. Pada 2002, LT2 dilengkapi enjin baharu 2.8 liter berkuasa 158PS dengan tork maksimum 331Nm.

LT2 dikeluarkan di kilang Stöcken, Hanover dan ditamatkan pada 2006 dengan jualan hampir kepada 340,000 unit.

Crafter: 2006-2016

Pada generasi ketiga ini nama Crafter pertama kali digunakan. Ia dipilih berdasarkan definisi 'seseorang yang membantu' di mana Crafter dibangunkan untuk menjadikan hidup lebih mudah sama ada dalam kerja atau kehidupan harian.

Varian paling hebat untuk generasi ketiga ini ialah Crafter 4MOTION pacuan semua roda tahun 2012. Van ini ditinggikan, tayar off-road dan lengkap dengan pelindung bawah. 

VW

'Kejantanan' Crafter 4MOTION dibuktikan sebagai kenderaan sokongan semasa Rali Dakar 2012.

Sama seperti generasi sebelum ini pelbagai varian ditawarkan dan mencatat jualan melebihi 480,000 unit.

Crafter: 2016 - sekarang

Generasi yang berada di pasaran sekarang pertama kali diperkenalkan pada 2016 dan dibina baharu dari asas oleh para jurutera Volkswagen Commercial Vehicles setelah kerjasama dengan Mercedes-Benz berakhir.

Van ini direka dengan kerjasama pelanggan di mana para pakar menghabiskan masa bersama dengan pemandu dalam kehidupan mereka seharian.

Pemerhatian itu dibuat bagi memahami bagaimana van digunakan dan apa yang mereka perlukan.

 

VW Crafter

 

Hasilnya ialah Crafter dengan pelbagai jenis dari pacuan depan, belakang dan semua roda, pengendalian terbaik dalam segmen dan sejumlah teknologi keselamatan dan bantuan pemanduan.

Usaha VWCV berbaloi apabila Crafter diiktiraf sebagai Van of the Year 2017 oleh juri antarabangsa yang terdiri daripada 24 jurnalis kenderaan komersial dari 24 buah negara Eropah.

Volkswagen Commercial Vehicle meneruskan warisan LT dengan memperkenalkan motorhome Grand California pada 2018 dan turut membangunkan eCrafter yang dikuasakan oleh nadi elektrik.

Pada penghujung 2019, hampir 260,000 unit Crafter dikeluarkan di kilang yang terletak di Wrzesnia, Poland.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

VW California_Ocean_Grand_California_12

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Simbol ‘R’ ini kebanyakkanya telah digunakan pada model Arteon dan T- SUV Roc, Tiguan dan Touareg…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…