Altenatif kepada model minivan seperti Lexus LM, Voyah Dreamer ini berukuran 5,315 mm, lebar 1,985 mm, tinggi 1,820 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,200 mm, dan berat sekitar 2,625 kg (atau 2,540 kg untuk versi range extender).
Voyah Dreamer ini boleh didapati dalam versi elektrik sepenuh masa, di mana ia dilengkapi dengan motor elektrik berkembar yang mampu menghasilkan 429 kuasa kuda dan 620 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.9 saat!
Versi penambah jarak pula menampilkan dua motor elektrik dengan unit enjin 1.5 liter turbo, yang mampu menghasilkan 389 hp dan 610 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sekitar 6.9 saat.
Voyah Dreamer EV mampu bergerak sejauh 600 km sementara versi range extender pula boleh mencapai jarak sehingga 700 km.
Rekaan luaran minivan Dreamer ini dimulakan dengan unit jeriji depan yang agak besar, diikuti dengan unit lampu LED penuh depan dan belakang, serta aksen krom yang agak berat.
Perasan kan kenapa penulis menggunakan contoh Lexus LM di atas?
Ini kerana Voyah Dreamer sememangnya dihasilkan untuk bersaing dengan model tersebut, di mana ia boleh dikonfigurasikan dengan empat tempat duduk yang lebih mewah, atau sehingga tujuh tempat duduk (2+2+3), dengan kelengkapan seperti tiga skrin pada papan pemuka, tempat rehat kaki, upholsteri kulit vegan, pintu gelangsar elektrik, sistem audio DYN serta sokongan sambungan 5G.
Selain itu, Voyah Dreamer ini turut didatangkan dengan sistem suspensi udara adaptif dengan sokongan pemanduan autonomi Tahap 2+.
Ruang kargo di belakang pula adalah sebesar 427 liter.
Harga jualan Voyah Dreamer bermula dari 380,000 yuan (RM252,625) untuk versi tujuh tempat duduk, dan bermula dari 600,000 yuan (RM398,882) untuk versi empat tempat duduk dengan tahap kemewahan yang setara dengan model-model Maybach.