Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus - moden tapi bukan untuk si kaki ligan

oleh HEZERI SAMSURI|
Umum mengetahui Volvo ialah sebuah jenama dari Sweden yang pernah bernaung di bawah kumpulan Ford. 

Yang ramai tidak ketahui, Ford tidak begitu membenarkan anak kelahiran Sweden itu terbang bebas. Pelbagai kekangan dikenakan, semuanya menghadkan jenama itu dari berkembang.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Penggunaan platform lama, perkongsian enjin yang tidak begitu bertamadun dan kekangan bajet penyelidikan menyebabkan Volvo masih ditakuk lama ketika itu. Ya, ia mencuba untuk mengubah status kereta doktor dan guru besar yang sinonim dengan namanya tetapi terus terang penulis katakan, tidak ada satu pun model Volvo pada zaman itu yang mampu membuatkan penulis benar-benar teruja.

 

 

Pada masa itu, cuma ada dua jenis kenderaan yang Volvo hasilkan - jika ia ditala untuk pengendalian, maka keselesaan dicampak terus ke laut. Dan jika ia direka untuk selesa, maka kapten kapal akan merasa gembira kerana pengendalian ala tongkangnya.

Namun begitu, pembelian Volvo oleh Geely nampaknya mengubah segalanya. Kaum Eropah menerima tuan baharu mereka dari Tanah Besar China dengan hati yang terbuka kerana mereka dibenarkan untuk terbang bebas dan mencapai potensi sebenar kebolehan mereka.

Kerana itu, dari XC90 yang nampak jauh lebih bergaya dari seteru Jerman mereka, dan sedan S90 serta wagon V90 yang langsung tidak menoleh ke belakang dan terus mahu melawan jenama mewah terkemuka dunia, Volvo segera memanjat dan kini diterima sebagai jenama mewah.

 

 

Seperti yang dijanjikan, SUV saiz sederhana muncul dalam bentuk XC60. Dilancarkan di Geneva tahun lalu, tidak sampai 12 bulan Volvo telah membawa XC60 itu ke Malaysia dalam bentuk CKD. 

Untuk tujuan pandu uji ini, Volvo Malaysia memberikan Careta seunit XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus yang dibawa masuk secara CBU semasa pelancarannya.

Dibina di atas platform yang sama dengan XC90, S90 dan V90, ini adalah antara SUV paling selamat di dalam dunia kerana ia mencapai skor Euro NCAP setinggi 98 peratus untuk keselamatan penumpang dewasa dan 95 peratus dalam kategori kenderaan off-road besar.

 

 

Dari luaran, Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus berbeza dari varian T5. Untuk memastikan ibu tunggal muda di hadapan rumah anda tahu bahawa T8 anda berbeza dari varian T5 yang lebih murah, tunjukan pada beliau senarai perbezaan ini: 

  • Lampu hadapan LED penuh dengan fungsi Active Bending Lights.
  • Bumbung lengkap dengan panoramic sunroof.
  • Gril dengan bilah menegak.
  • Kemasan perak untuk dua lubang angin palsu di kiri dan kanan bamper hadapan.
  • Kemasan sisi krom
  • Ekzos kembar kiri dan kanan dengan kemasan krom dan bersekali dengan diffuser
  • Roda aloi lebih besar - 19 inci dengan 10 bilah, dibalut dengan tayar bersaiz 235/55 R19.

 

 

Tidak kelihatan ialah sistem audio Bowers & Wilkins dengan 15 pembesar suara dengan 1,100 watts melalui satu unit amplifier 10-channel Class D. Memang tidak pernah penulis mendengar lagu Selamat Jalan Romeo berbunyi sehebat ini dengan sistem audio tersebut.

XC60 T8 juga dilengkapi dengan enjin 2.0L 4-silinder yang sama dipasang pada model XC90 dan S90/V90. Gabungan pengecaj turbo dan supercharger memberikan tenaga maksimum sebanyak 320 hp dan kadar tork maksimum pada 400 Nm.

 

 

Tetapi kerana XC60 T8 ini ialah sebuah Plug In Hybrid, ia turut dilengkapi dengan motor elektrik (87 hp dan 240 Nm) untuk menjana roda belakang. 

Apa yang akhirnya anda dapat ialah seabuah SUV mewah bersaiz sederhana dengan tujahan tenaga terkumpul setinggi 407 hp dan daya kilas setinggi 640 Nm melalui sistem transmisi lapan kelajuan automatik.

Tak cukup dengan itu, anda juga sebenarnya mendapat sebuah SUV dengan pacuan empat roda kerana enjin petrol itu menghantar tenaga kepada roda hadapan sementara motor elektrik itu memutarkan roda belakang.

 

 

Mudah bunyinya tetapi Volvo menggunakan sistem kawalan komputer atau ECU yang kompleks bagi memproses jumlah hantaran tenaga kepada setiap roda agar ia seimbang.

Dengan jumlah tenaga yang melebihi sebuah kereta prestasi, XC60 ini mampu memecut dari 0 ke 100 kmsj dalam masa 5.3 saat sementara halaju maksimum ialah 230 kmsj. 

Ya, tidak sepantas atau selaju yang disangka tetapi harus ingat, ia adalah sebuah hybrid dan kerana itu, ia mempunyai sebuah bateri 10.4 kWh yang diletakan pada tulang tengah platform Scalable Product Architecture (SPA) itu untuk membenarkan anda memandu Volvo ini dengan kuasa bateri sahaja sejauh 45 km.

 

 

Bateri yang berat itu memberikan efek kepada kadar pecutan dan halaju maksimum XC60. Dan kerana ia sebuah hybrid, tangki bahan api juga dikecilkan kepada 50 liter sahaja. Jangan khuatir kerana XC60 T8 ini memberikan pulangan penggunaan bahan api yang sangat rendah - 2.1L/100km. 

Itu pun jika anda bersabar dan tidak mahu menggunakan potensi tenaga yang ada pada XC60 T8 ini. Penulis nyata tersungkur pada gelodak hawa nafsu dan sering menggunakan kelebihan tenaga itu untuk menguji pecutan.

 

 

Di situlah baharu penulis sedar bahawa walaupun XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus ini mempunyai tenaga dan kadar tork yang menyamai sebuah supercar, namun kualiti pengendalian lebih kepada sebuah SUV mewah.

Kerana unit pandu uji ini ialah unit yang diimport sepenuhnya (CBU), ia datang dengan sistem gantungan udara Active Chassis. Ini membolehkan pemandu mengawal ketinggian XC60 T8 ini. Contohnya jika di dalam mod pemanduan sporti, XC60 T8 akan direndahkan ketinggiannya agar kononnya lebih stabil.

 

 

Ia juga boleh ditinggikan untuk mendapat ruang lega yang lebih tinggi bagi melepasi objek-objek ketika pergi off-road. Penulis sangat yakin situasi itu (pergi off-road) tidak akan berlaku, kecuali jika pakcik yang cuba mengharung banjir di jalan Kuantan-Pekan dahulu dengan Audi Q8 miliknya itu membeli VX60 ini bagi menggantikan SUV mewah beliau yang rosak teruk ditenggelami air.

Sayang sekali, sistem gantungan udara juga lambat untuk bertindak balas dan ia juga menambahkan berat kenderaan - dua perkata yang tidak baik untuk pengendalian.

 

 

Sewaktu memandu secara agresif di selekoh-selekoh kosong di lebuhraya Karak, ternyata sistem gantungan udara itu tidak mampu untuk mengawal olengan XC60. Penulis terasa seperti mengajak seekor gajah dara pergi bermain salji luncur.

Menambahkan situasi huru-hara itu ialah stereng yang langsung tidak mahu berkomunikasi dengan pemandu.

 

 

Sebenarnya, masalah pada sistem gantungan yang lembab dan stereng yang tidak begitu responsif itu bukanlah satu masalah besar.

Lebih besar lagi yang menyebabkan penulis rasa terkilan ialah sistem brek pada XC60 T8 ini. Kerana ia sebuah hybrid, maka setiap kali pedal brek ditekan, motor elektrik akan bertukar fungsi dan menjadi sebuah dinamo.

Tidah ada masalah cuma dalam cubaan kenderaan itu hendak meraih sebanyak mungkin tenaga elektrik dari dinamo, ia menyebabkan daya geseran. Kerana itu apabila pendikit dilepaskan pada kenderaan hybrid, terasa seperti kenderaan itu cuba untuk membrek dengan sendiri secara perlahan-lahan.

 

 

Kerana itu juga, kebanyakan brek kenderaan hybrid terasa tidak begitu tulen. Ada yang menyebabkan pemandu kurang pasti sebanyak mana daya brek diperlukan untuk situasi-situasi tertentu.

Bayangkan anda cuba mengangkat sebutir telur ayam mentah menggunakan tangan robot. Tanpa deria rasa yang telus, anda tidak tahu sekuat mana tangan robot itu mencengkam telur itu. Terlalu lemah, telur akan jatuh dan terlalu kuat, telur akan pecah.

Sama perumpamaannya dengan brek XC60 T8 ini. Penulis gagal merasakan "biting point" atau titik brek untuk mula menggigit. Sering terjadi, brek dirasa tidak begitu kuat dan bila ditekan sedikit lagi, seluruh kuasa brek masuk dan menyebabkan XC60 ini brek mengejut.

 

 

Hasilnya ialah pemanduan yang sangat tidak lancar dan jika tidak kenal, pasti penumpang akan merasakan penulis baharu belajar memandu. Brek jenis on-off ini sememangnya dibenci oleh ramai pemandu.

Berbalik kepada sistem gantungan, Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus varian CKD yang dipasang di Shah Alam tidak akan didatangkan dengan sistem gantungan udara Active Chassis itu.

 

 

Semua XC60 CKD akan datang dengan sistem gantungan Dynamic Chassis yang menggunakan penyerap hentak hidraulik dan pegas dedaun dari bahan komposit - lebih mudah, lebih ringan dan kami yakin akan memberikan pengendalian yang lebih baik.

Untuk mereka yang mahukan lebih kemewahan dan tidak begitu mahu sesuatu yang agresif, Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus memang sesuai.

 

 

Varian CBU ini dijual dengan harga RM373,888 atas jalan tanpa insuran dan lengkap dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, tetapi kesemua unit import ini sudah habis terjual katanya.

Jangan risau kerana kami yakin varian Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription CKD dari Shah Alam jauh lebih berbaloi.

Dengan harga RM333,888 untuk T8 Twin Engine Inscription CKD dan RM343,888 untuk versi Plus, ia lebih murah dan paling penting, ia tidak datang dengan sistem gantungan udara yang lembab itu dan akan menyusahkan anda selepas beberapa tahun kelak.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Pengakhiran nadi diesel Volvo menyaksikan sebuah SUV XC90 terakhir berwarna biru dengan enjin…
Berita Global
  Volvo membangunkan Accident Ahead Alert bagi membantu pemandu mengelak pelanggaran dan…
Berita Global
Seorang peminat tegar Lego, David Gustafsson kini merealisasikan meme tersebut dengan menghasilkan…