
Volvo merupakan contoh di mana reka bentuk tak berwaktu (timeless) berjaya memikat pelanggan dan tidak dinafikan disumbang pakej lain.
Walaupun begitu, tidak semua pengeluar boleh menggunakan kaedah sama terutama sekali jenama baharu.
Dikeluarkan sejak 2017, Volvo telah mengemaskini XC60 pada 2021 dan kali ini lebih menyerlah.
Selain menyusul selepas XC90, satu lagi yang boleh dijangka adalah rekaan jeriji dengan corak berlawanan.

Kereta yang elok tidak perlu diubah banyak dan Volvo menawarkan pilihan rim baharu dan lampu belakang lebih gelap.
Pelanggan juga diberi tiga pilihan warna baharu iaitu Forest Lake, Aurora Silver dan Mulberry Red yang pertama kali diperkenal untuk XC60.
Secara keseluruhan XC60 2025 nampak segak dan dilihat mampu mempertahankan kedudukan sebagai model terlaris sekali dan banyak kali lagi.
Pada bahagian dalam, sama seperti XC90 skrin dalam papan pemuka dibawa ke luar dan kini bersaiz 11.2 inci.

Nampak janggal untuk sebuah rekaan Scandinavia yang biasanya kemas dan selari namun mengikuti trend semasa.
Ketumpatan piksel ditingkatkan sebanyak 21 peratus untuk paparan yang lebih tajam.
Pengalaman pengguna atau UX juga baharu dan lebih mesra pengguna.
XC60 2025 menggunakan Snapdragon Cockpit Platform generasi baharu yang menjadikan sistem maklumat hibur lebih daripada dua kali ganda lebih pantas.

Pemprosesan grafik sepuluh kali lebih pantas dan meningkatkan tindak balas sistem, mengurangkan gangguan pemandu dan menambah baik keselamatan.
Selain itu, XC60 menggunakan gabungan bahan premium baharu seperti Quilted Nordico dan Navy Herringbone Weave.
Pengguna boleh menggunakan pengecas telefon tanpa wayar yang dipertingkatkan dan cawan minuman diletakkan di dalam bekas rekaan baharu.
Sistem pemurnian udara canggih meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan dalam kabin.

Sistem bunyi Bowers & Wilkins High Fidelity ditawarkan sebagai pilihan pembelian.
Tidak hanya visual, fizikal dan auditori, Volvo turut meningkatkan XC60 dengan menjadikan dalaman lebih senyap untuk pengalaman pemanduan lebih selesa.
Satu lagi yang baharu adalah pilihan suspensi udara pilihan dan tingkap berlamina untuk pengalaman lebih premium.
Volvo tidak berkongsi mengenai pembaharuan rangkaian kuasa dan XC60 2026 kini boleh ditempah di beberapa negara dan bakal menyusul di pasaran lain.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
