Volvo XC40 Recharge - motor elektrik berkembar, 402 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa bulan memberikan gambaran kasar kepada media, akhirnya Volvo secara rasmi memperkenalkan model baharu berkuasa elektrik sepenuhnya, Volvo XC40 Recharge.

Frasa nama 'Recharge' bermakna ia bakal digunakan untuk kesemua model Volvo yang berkuasa elektrik mahupun model plug-in hybrid pada masa akan datang. 

 


Dari segi spesifikasi, kereta elektrik pertama pengeluar dari Sweden itu dijana menggunakan dua buah motor elektrik - satu setiap gandar - yang mampu menghasilkan 402 kuasa kuda. 

Ia merupakan trenkuasa yang hampir serupa didapati pada saudara jauhnya Polestar 2. 

Dengan trenkuasa ini, Volvo XC40 Recharge menjanjikan jarak operasi sejauh 400 kilometer mengikut data kitaran WLTP.
 


Masa pengecasan pula mengambil masa sehingga 40 minit untuk mencapai kapasiti 80 peratus pek bateri berkapasiti 78 kWh menggunakan sistem pengecasan pantas 150 kW.

Memandangkan pek bateri diletakkan rendah di atas lantai, jarak kelegaan tanah Volvo XC40 Recharge adalah lebih rendah berbanding varian berenjin petrol. 

Namun, ketiadaan unit enjin di bahagian hadapan boleh menempatkan ruang storan tambahan dikenali sebagai frunk.  
 


Seperti yang kami pernah siarkan, Volvo XC40 Recharge menampilkan sistem infotainmen baharu yang menggunakan sistem operasi Android, serta boleh diintegrasikan sepenuhnya kepada ciri Volvo On Call. 

Menurut Volvo, XC40 Recharge akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Eropah paling lewat tahun hadapan, diikuti oleh pasaran Amerika Syarikat. 

Harga jualan pula dianggarkan menyamai harga Polestar 2, iaitu bermula dari €58,800 (RM271,950) dan para pelanggan yang membeli bermula awal tahun 2020 akan menerima bekalan elektrik percuma selama setahun. 

 


Berkenaan bekalan elektrik tersebut, ia akan ditolak daripada penggunaan purata bacaan elektrik dalam tempoh setahun daripada pembelian Volvo XC40 Recharge. 
 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Walaupun Lynk & Co bakal membuka operasinya di Eropah tidak lama lagi, model 05 ini merupakan…
Berita Domestik
Penganjuran persidangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen Volvo Buses terhadap Program…
Berita Domestik
Dioperasikan oleh rakan jualannya, iRoll Ipoh Sdn Bhd, pusat pameran 3S ini mempunyai lokasi yang…