Volvo UK lancar tiga model Polestar Engineered - S60, V60 dan XC60

oleh Mohamad Hanif|
Sementara rakyat Malaysia masih lagi menantikan kehadiran sedan S60 secara rasmi, rakyat di UK kini berpeluang untuk memiliki tiga ahli keluarga siri 60 (S60, V60 dan XC60) Polestar Engineered apabila Volvo secara rasmi membuka tempahan buat ketiga-tiga model tersebut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Didatangkan dalam varian tertinggi T8 Twin Engine plug-in hybrid, ketiga-tiga model ini menggunakan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter dan dengan gandingan motor elektrik yang mampu menghasilkan 399 kuasa kuda. 

 


Namun, dari segi pecutan 0-100 km/j pula, S60 Polestar Engineered mampu mencatatkan bacaan 4.4 saat, menjadikan ia kereta Volvo terpantas buat masa ini. 

Sistem hibrid yang didatangkan membolehkan jarak operasi sifar emisi sejauh 44 km dengan pulangan bacaan penggunaan bahan api serendah 2.7 liter untuk setiap 100 kilometer!

Sistem brek yang didatangkan pula sedikit berbeza, di mana kembar S60 dan V60 pula hadir dengan penawaran sistem brek Brembo, manakala SUV XC60 pula mendapat set Akebono. 
 


Sistem gantungan ketiga-tiga model pula menerima set boleh laras dari Ohlins yang memberikan keseimbangan antara pengendalian dan keselesaan, manakala rekaan penyerap hentak dan strut bar pula berkongsi dengan model Polestar 1.

Kemasan kosmetik yang ditawarkan pada versi Polestar Engineered ini termasuklah elemen hitam berkilat pada gril, ekzos hitam krom dan set rim Y-spoke bersaiz 19 inci (untuk S60 dan V60) atau 20 inci untuk XC60. 
 


Manakala ruang dalaman pula didatangkan dengan penggunaan tali pinggang keledar berwarna emas, kemasan jahitan pada papan instrumen, sistem audio keliling Harman Kardon, serta stereng dengan pemanas terbina dalam. 

Harga jualan pula bermula dari £56,105 (RM302,831) untuk sedan S60, manakala V60 dan XC60 masing-masing bermula dari £57,205 (RM308,768) dan £64,545 (RM348,386).