Volvo Trucks catat pencapaian terbaik sepanjang 50 tahun operasi di Malaysia!

oleh Mohamad Hanif|
Volvo Trucks hari ini mengumumkan pencapaian terbaik dalam sejarah 50 tahun operasi perniagaan trak di Malaysia, di mana pengeluar tersebut kini merupakan peneraju di dalam segmen prime mover.

Sebanyak 479 unit prime mover dan trak telah berjaya dijual kepada para pelanggan mereka untuk tahun 2019, dengan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun 2018. 

Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 70 peratus merupakan model Volvo FM, manakala selebihnya merupakan model Volvo FMX dan Volvo FH.

Pencapaian ini sekaligus mencatatkan penguasaan pasaran di dalam segmen prime mover sebanyak 26 peratus pada tahun lalu berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Malaysia Automotive Association (MAA).

Menurut Mitch Peden, Pengarah Urusan Volvo Malaysia Sdn Bhd berkata, "pencapaian jualan tahun 2019 merupakan petanda positif terhadap perkembangan berterusan dan mampan Volvo Trucks di Malaysia,  menjadikan permulaan tahun baru kami penuh dengan momentum yang lebih kuat dan bertenaga. 

Kadar penjualan Volvo Trucks juga turut meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 13 peratus semenjak tahun 2010 dan menjadi peneraju di dalam segmen prime mover.

 


Bersempena dengan ulang tahun yang ke-50 Volvo Trucks Malaysia, pengeluar tersebut telah memperkenalkan beberapa perubahan dan penambahbaikan terhadap produk serta kualiti perkhidmatan selepas jualan. 

Antara perubahan tersebut termasuklah Volvo Uptime Promise, ciri pertama seumpamanya yang menjanjikan bayaran pampasan kepada pengguna sekiranya trak mereka ditahan melebihi had masa 12 jam yang ditetapkan oleh Volvo Trucks. 

Selain daripada itu, Volvo Uptime Promise turut merangkumi jadual perancangan dan jangkaan terhadap komponen pakai lusuh membolehkan mereka membantu para pelanggan untuk merangka jadual penyelenggaraan yang lebih berkesan. 

Tambah Mitch Peden lagi, sokongan yang berterusan daripada para pelanggan tetap Volvo Trucks di Malaysia turut sama membantu mereka menawarkan penambahbaikan dalam memastikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti. 

Ini termasuklah menawarkan jaminan pengeluar sehingga 300,000 kilometer jarak perbatuan, jaminan 24 bulan terhadap alat ganti serta skim pembiayaan Volvo Financial Service (VFS) dengan kadar faedah serendah 2.88 peratus untuk pelanggan yang memenuhi syarat yang ditetapkan. 

"Kami amat menghargai sokongan dan kesetiaan yang dipamerkan terhadap Volvo Trucks, dan ia merupakan satu faktor yang mendorong kepada kejayaan kami," ujar Peden mengakhiri bicara.
 

Add new comment

Berita Berkenaan

Informasi
1. Trak treler secara amnya boleh dikategorikan kepada dua jenis, trak Amerika dan trak Eropah. 2…
Berita Global
Kemudian, Volvo Trucks melakukan sesuatu yang aneh pada tahun yang sama dengan memposisikan…
Berita Domestik
Satu majlis penyerahan trak baharu itu telah diadakan di pengedar Volvo Trucks di Prai.  Setakat…