Volvo sedia kotak kitar semula peranti elektronik di semua cawangan pengedar

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada azam untuk menjadi sebuah jenama sifar emisi menjelang tahun 2030, Volvo juga mahu menjadi sebahagian daripada tenaga penggerak dalam memastikan bumi bebas daripada sisa-sisa elektronik yang berbahaya daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sehubungan dengan itu, Volvo Car Malaysia bekerjasama dengan E-Waste Recycling Through Heroes (ERTH) menyediakan kotak kitar semula yang dinamakan sebagai E-Waste Green Box di pusat pengedar Volvo dan kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia (VCMM).

Pelanggan Volvo, serta rakyat Malaysia secara amnya dijemput untuk berkunjung ke mana-mana pusat pengedar Volvo yang berhampiran dan menyumbang barangan elektronik terpakai seperti peranti pintar, bateri, atau sisa elektronik yang turut merangkumi pencetak, papan kekunci, bateri, konsol permainan dan laptop.

 


Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada kempen kelestarian Volvo Car Malaysia - Volvo Green Planet - yang mensasarkan kesedaran terhadap perubahan iklim semasa serta menjadikan jenama itu lebih dekat dengan sasaran jangka panjang untuk menjadi neutral iklim pada tahun 2040.

ERTH merupakan organisasi berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar yang mengumpul, membeli, dan mengangkut sisa-sisa elektronik untuk dikitar semula di fasiliti kitar semula yang berlesan, dan mereka memastikan setiap proses mematuhi garis panduan yang dikeluarkan daripada Basel Convention - perjanjian antarabangsa bagi mengurangkan pergerakan sisa berbahaya antara negara.

Senarai pusat pengedar Volvo yang menyediakan kotak E-Waste Green Box ini boleh dirujuk pada laman web https://www.volvocars.com/my/find-a-dealer.