Volvo S90 2021 facelift - dua varian, bermula dari RM328,888

oleh Mohamad Hanif|
Volvo Car Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model facelift sedan mewah yang didatangkan dalam dua varian, iaitu Volvo S90 T5 dan Volvo S90 Recharge T8 Inscription Plus untuk pasaran Malaysia.
Modenas

Dari segi penawaran enjin, varian asas S90 T5 didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 251 kuasa kuda dan 350 Nm (1,500-4,800 rpm), dipadankan dengan transmisi automatik yang membenarkan pecutan sepantas 6.8 saat dari 0-100 km/j.

Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7 liter untuk setiap 100 km.

 


Sementara model S90 Recharge T8 Inscription Plus pula mendapat enjin 2.0 liter Twin Engine (dengan pengecas turbo dan pengecas lampau) menghasilkan 316 kuasa kuda dan 400 Nm, dibantu dengan motor elektrik pada gandar belakang (86 hp/240 Nm) bagi menghamburkan kuasa keseluruhan setinggi 407 kuasa kuda dan 640 Nm.

Kuasa pecutan adalah 4.9 saat dari sifar ke 100 km/j.  

Varian plug-in hybrid Recharge T8 turut dilengkapi dengan pek bateri 11.6 kWh yang membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 58 km, dan memberikan pulangan bacaan penggunaan bahan api serendah 2.1 liter untuk setiap 100 km.

 


Dari segi luaran, Volvo S90 facelift ini mengekalkan rekaan minimalis Scandinavia yang elegan, seperti lampu utama LED dengan tukul Thor, gril krom menegak dengan Volvo Iron Mark, serta unit lampu belakang yang menghampiri rekaan Volvo S60 T8 R-Design yang sporti itu.

Motif Scandinavia turut dikekalkan pada ruang kabin yang menempatkan kelengkapan seperti sistem infotainmen Sensus 9 inci potret yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Bowers & Wilkins dengan 19 pembesar suara.

 


Sistem audio Bowers & Wilkins ini menampilkan teknologi pembesar suara Nautilus untuk pengalaman audio yang jelas dan mendalam, dibantu dengan tweeter aluminium kubah berkembar, dan kon pembesar suara mid-range daripada bahan komposit Continuum bagi menghasilkan bunyi yang lebih semula jadi.

Tambahan pula, pemandu atau penumpang boleh menikmati beberapa mod seperti Concert Hall yang diinspirasikan daripada Gothenburg Concert Hall, atau Jazz Club Mode.

Sebagai sebuah Volvo, tidak lengkap penawaran S90 tanpa kehadiran ciri keselamatan menyeluruh seperti sistem informasi titik buta (BLIS), City Safety, Cross Traffic Alert, Amaran pelanggaran depan dan belakang, bantuan mitigasi, bantuan kekal laluan, Pilot Assist serta had laju 180 km/j.

 


Terdapat sehingga lima warna ditawarkan iaitu Bright Silver, Crystal White Pearl, Onyx Black, Platinum Grey dan Thunder Grey.

Harga jualan untuk Volvo S90 Recharge T8 bermula dari RM358,888 atau RM339,315 termasuk pengecualian cukai SST, sementara varian T5 pula bermula dari RM328,888 yang hanya boleh didapati bermula Jun 2021.

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk tahun 2020, Volvo nampaknya tidak mahu mengacau kesempurnaan rekaan tersebut, akan tetapi…
Berita Global
Sudah terdedah setelah lama dunia permotoran tertunggu-tunggu akan rupa kereta keluaran pertama…
Berita Domestik
Jika ditanya apakah faedah polisi Dasar Automotif Negara (DAN) serta EEV kepada negara, maka ini…