Untuk itu, para jurutera Volvo berusaha untuk melengkapkan pelbagai teknologi terbaik untuk dimuatkan pada SUV elektrik akan datang, Volvo EX90 yang dijangka akan menggantikan SUV XC90.

Salah satu ciri pertama dalam dunia yang dimuatkan adalah sistem radar dalam kabin.
Ciri radar kabin yang menggunakan frekuensi 60 GHz ini bakal menjadi satu ciri standard untuk Volvo EX90 yang akan diperkenalkan pada 9 November nanti, serta diperluaskan kepada model-model Volvo yang lain.
Sistem radar kabin pertama ini dikatakan mampu mengesan pergerakan dalam julat sub-milimeter di dalam keseluruhan ruang kabin, dengan unit penderia yang dimuatkan pada konsol atas kepala, lampu bacaan bumbung dan ruang kargo di bahagian belakang.
Sistem ini mampu mengesan sekiranya terdapat manusia atau haiwan peliharaan yang tertinggal di dalam kabin, seterusnya menghantar isyarat notifikasi kepada pemandu, sekiranya mereka terlupa akibat kepenatan bekerja seharian.

Sebagai sebuah kenderaan elektrik, Volvo EX90 juga turut menyokong sistem pengecasan berbalik (bi-directional charging) yang membolehkan SUV ini digunakan sebagai sumber tenaga untuk seisi rumah sewaktu ketiadaan bekalan elektrik.
Malah, dalam keadaan tertentu seperti waktu puncak, tenaga yang tidak digunakan pada EX90 itu boleh dijual dan disalurkan kembali kepada sistem grid nasional, bertujuan untuk mengimbangkan lagi sistem grid dengan lebih berkesan.