Volvo EX30 2025 - SUV elektrik Volvo paling kecil & paling murah, jarak gerak cecah 480 km

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada ahli keluarga SUV terkecil Volvo Cars, iaitu Volvo EX30.

"Adik" kepada Volvo EX90 ini disasarkan sebagai satu alternatif yang lebih mampu milik kepada model SUV elektrik XC40 Recharge dan juga C40 Recharge.
 

EX30


Dari segi luaran, anda akan dapat melihat elemen rekaan EX90 yang diterapkan terus pada model EX30, seperti contoh unit lampu Thor's Hammer, jeriji hadapan yang kosong diikuti dengan rekaan lampu belakang terpisah.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,233 mm, lebar 1,837 mm, tinggi 1,555 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm. Secara standard, rim 18 inci tersedia manakala dua varian teratas mendapat rim bersaiz 19 inci.

Menurut Volvo, casis EX30 telah ditala supaya menawarkan titik graviti yang lebih rendah. Walaupun kecil, SUV ini sebenarnya agak berat, 1,830 kg!
 

Volvo


Volvo EX30 boleh didapati dalam tiga tetapan trenkuasa elektrik.

Versi yang paling asas dibekalkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 268 hp dan 343 Nm, dipadankan dengan pek bateri NMC (Nickel Manganese Cobalt) berkapasiti 64 kWh.

Jarak gerak adalah dianggarkan sejauh 443 km (data EPA).  
 

Volvo


Sementara versi motor elektrik berkembar pula menawarkan sistem pacuan semua roda, dengan kuasa 422 hp dan 543 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat.

Dengan kapasiti pek bateri yang sama, EX30 Twin Motor Performance mampu bergerak sejauh 426 km.

Untuk pasaran Eropah dan pasaran lain, Volvo EX30 boleh didapati dalam versi aras mula, di mana tetapan motor elektrik RWD yang sama akan dipadankan dengan pek bateri LFP (Lithium Iron Phosphate) berkapasiti 49 kWh, dengan jarak gerak sekitar 322 km.
 

EX30


Volvo EX30 dengan pek bateri NMC mampu menyokong pengecasan pantas DC sehingga 153 kW, membolehkan pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam masa 26.5 minit.

Pek bateri LFP pula menyokong kapasiti pengecasan pantas sehingga 134 kW, juga mengambil masa sekitar 26 minit untuk kitaran pengecasan yang sama.
 

EX30


Ruang kabin Volvo EX30 turut menerapkan aspek elemen rekaan Scandinavia, di mana ia hanya menampilkan skrin tengah tunggal sebesar 12.3 inci, serta pembesar suara jenis soundbar pada bahagian atas papan pemuka.

Volvo bekerjasama dengan rakan teknologi seperti Google, Apple dan Qualcomm untuk mencipta pengalaman pengguna yang terbaik, seperti sokongan kemaskini over-the air, kunci digital, serta beberapa perkhidmatan berkaitan dengan kereta seperti pengecasan, fungsi pemanasan dan sebagainya.
 

EX30


Selain itu, Volvo juga turut memperlihatkan model EX30 versi Cross Country untuk mereka yang gemarkan aktiviti yang mencabar.

Berbanding EX30 standard, versi Cross Country itu menampilkan ciri seperti jarak lega bumi yang lebih tinggi, rim 19 inci berwarna hitam atau rim 18 inci dengan balutan tayar all-terrain, skid plate, panel hitam khas pada bampar depan dan pintu tailgate, serta penjenamaan Cross Country.
 

EX30


Harga jualan di Amerika Syarikat bermula dari $34,950 (RM160,665), sementara harga jualan di Eropah pula bermula dari 36,000 euro (RM177,297).

Tempahan untuk Volvo EX30 versi Cross Country pula hanya akan bermula pada tahun hadapan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Penjenamaan semula ini adalah penting bagi memudahkan pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu…
Berita Global
Model terbaharu itu telah diumumkan pada penghujung tahun lepas, dan kini kita sudah boleh melihat…
Berita Global
SUV Volvo EX30 itu secara tidak langsung akan menjadi model aras mula yang disasarkan kepada…