
Sekali lagi Volvo bermain dengan bentuk dan ES90 menggabungkan keanggunan sedan, keanjalan fastback, dan keluasan SUV.
Dibangun menggunakan seni bina SPA2, ES90 model Volvo pertama dilengkapi teknologi 800V untuk pemanduan lebih jauh dan pengecasan lebih pantas.
Mendengar isu yang sering dibangkitkan mengenai jarak, ES90 boleh dipandu sehingga 700 kilometer (kitaran WLTP).
Tempoh pengecasan yang lama juga didengar dan pemandu boleh menambah tenaga untuk jarak 300 kilometer (km) dalam masa sepuluh minit (350 kW).

Meskipun dengan rekaan berkotak, pekali seretan (Cd) hanya 0.25 dan paling aerodinamik untuk sebuah Volvo.
Reka bentuk aerodinamik membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan jarak pemanduan lebih jauh.
Garisan bumbung yang kemas turut meningkatkan kecekapan dan jarak. Reka bentuk ES90 dengan kedudukan lebih tinggi memberikan pandangan jalan lebih jelas buat pemandu.
Reka bentuk luaran ES90 sebenarnya mengingatkan kepada saudara dekat iaitu Polestar 2 dan 4.

Jika model Volvo sebelum ini tampil dengan rekaan lampu depan menarik, kali ini diserahkan kepada lampu belakang LED berbentuk C yang jelas dan menarik perhatian.
Badan yang tinggi juga bermakna rim besar perlu digunakan untuk mengisi ruang roda dan Volvo menawarkan empat pilihan saiz dari 20 sehingga 22 inci.
ES90 memiliki jarak roda 3.1 meter dan diterjemah kepada ruang kaki lebih luas untuk penumpang belakang.
But belakang menyediakan ruang 424 liter atau 733 liter dengan tempat duduk belakang dilipat.

But hadapan atau frunk dengan 22 liter pula boleh digunakan untuk menyimpan kabel pengecasan.
Jika bahagian luar membawa aura Polestar, bahagian dalam pula membawa gaya berbeza.
Reka bentuk papan yang ringkas diserlahkan dengan skrin tengah 14.5 inci untuk navigasi, hiburan, kawalan iklim, telefon dan banyak lagi.
Bumbung panoramik memberikan perlindungan UV sehngga 99 peratus dan pilihan elektro-kromik boleh mengawal tahap kegelapan bumbung kaca.

Volvo memaklumkan ES90 mempunyai kabin yang senyap dan membantu dalam pengalaman pemanduan lebih selesa.
Penumpang dapat menikmati sistem iklim empat zon untuk keselesaan optimum dan pelanggan ditawarkan tiga pilihan sistem bunyi termasuk Bowers & Wilkins.
Sistem maklumat hibur dikuasakan Snapdragon® Cockpit Platform dan memberikan maklumat penting memandu pada skrin papan pemuka dan papar pandu (HuD).
Dari segi keselamatan, ES90 dilengkapi lima radar, tujuh kamera, 12 penderia ultrasonik dan lidar (pengesanan dan julat cahaya) dari Luminar Technologies.

Tidak perlu menunggu lebih lama, Volvo sudah pun membuka tempahan ES90 untuk pelanggan di Austria, Belgium, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman dan Greece.
Pelanggan di Eropah seperti Hungary, Itali, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan UK juga memasuki senarai awal.
Pasaran lain akan ditambah sepanjang 2025 dan 2026. Untuk pasaran tempatan, perlu menunggu seketika dan Volvo baru sahaja membuka tempahan untuk EX90 dan XC90.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
