Volvo Car Malaysia dedah imej acah Volvo XC40 Recharge, pelancaran rasmi 25 Februari ini

oleh Mohamad Hanif|
Dalam satu hantaran yang dibuat menerusi laman Facebook, Volvo Car Malaysia hari ini mendedahkan imej acah yang memberikan petanda kehadiran varian baharu XC40 yang bakal memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat.
Modenas

Difahamkan, model XC40 Recharge ini bakal ditawarkan dalam varian Volvo XC40 Recharge T5, iaitu sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV).

Bagi mereka yang kurang mengenali jenama Volvo pasti akan terkeliru dengan penggunaan frasa Recharge, ini kerana ia juga turut digunakan pada model elektrik sepenuh masa Volvo XC40 Recharge P8 yang diperlihatkan pertama kali dua tahun lalu.

 


Dari segi spesifikasi, Volvo XC40 Recharge T5 didatangkan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo, dibantu dengan motor elektrik dan gandingan kedua-dua enjin dan motor ini menghasilkan angka output 258 hp dan 425 Nm daya kilas memacu roda hadapan sahaja.

Ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Sebagai perbandingan, Volvo XC40 T5 AWD yang dijual di pasaran Malaysia sebelum ini didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 252 hp, 350 Nm, sistem pacuan semua roda dan transmisi automatik konvensional lapan kelajuan.

 


Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.3 saat, sementara pek bateri yang dibekalkan pula berkapasiti 10.7 kWh yang membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 44 km.

Spesifikasi penuh SUV ini bakal diketahui dengan lebih lanjut menjelang pelancaran rasmi pada 25 Februari ini.

 

Add new comment