
Tidak seperti sebelum ini, tiada lagi Tiguan Allspace dan model tiga baris tempat duduk diwakili Tayron baharu di Amerika Syarikat.
Sedar atau tidak, VW sebenarnya mementingkan prestasi.
Sebagai contoh Polo pasaran tempatan di antara lain digerakkan enjin turbo 1.2 liter TSI dengan kotak gear cekam berkembar DSG tujuh kelajuan.
Contoh lain ialah varian berprestasi R, yang bukan sahaja ditawarkan untuk hatchback Golf tetapi juga SUV besar Touareg.

Terbaru untuk pasaran Amerika Syarikat, Volkswagen memperkenalkan Tiguan SEL R-Line Turbo 2026 dengan kuasa kuda (hp) lebih tinggi berbanding Golf GTI.
Enjin empat silinder turbo 2.0-liter EA888 (evo 5) menjana 268 hp pada 5,500 rpm dan 350Nm tork di antara 1,900 dan 5,400 rpm.
Kuasa meningkat 67 hp dan 69Nm berbanding enjin asas. Sebagai SUV, nak ke mana dengan kuasa begini? Untuk perbandingan, Golf GTI berkuasa 241 hp dan 370 Nm.
Seperti yang dikatakan, Touareg pun mempunyai versi R. Peningkatan prestasi Tiguan SEL R-Line Turbo datang daripada beberapa perubahan.

Enjin dipasang pengecas turbo lebih besar yang membolehkan tekanan boost lebih tinggi dan digabungkan dengan nisbah mampatan lebih rendah iaitu 10.5:1.
Di dalam, enjin diperkukuh dengan omboh dan rod penyambung yang lebih tahan, serta aci engkol yang melalui proses nitriding (pengerasan permukaan dengan gas nitrogen).
Turut dilengkapi sistem penyejukan minyak untuk omboh, serta teknologi angkatan injap berubah pada bahagian masuk dan ekzos.
Enjin ini masih menggunakan teknologi kitaran Miller untuk membantu kecekapan bahan api berbanding enjin empat kitaran konvensional dan menggunakan petrol biasa.

Enjin Tiguan Turbo juga menerima beberapa peningkatan yang dikongsi bersama enjin varian lain, termasuk tekanan suntikan bahan api yang lebih tinggi.
Tekanan dinaikkan daripada 5,076 psi (350 bar) kepada 7,252 psi (500 bar).
Penambahbaikan lain termasuk sistem kemasukan udara, penyejuk antara (intercooler) dan sistem pelinciran, termasuk pam minyak jenis vane berkapasiti lebih tinggi.
Untuk mengurangkan geseran, enjin menggunakan pemacuan rantai yang dioptimumkan bagi aci sesondol dan pam minyak.

Enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dengan penukar gear di stereng. Sistem pacuan semua roda 4Motion® adalah standard untuk Tiguan Turbo.
Selain peningkatan kuasa, Tiguan generasi ketiga lebih ringan kira-kira 77 kilogram (kg) berbanding model terdahulu dan membantu kecekapan bahan api dan pecutan.
Penjimatan berat dicapai melalui penggunaan bahan ringan pada struktur badan dan sistem suspensi, serta perubahan pada sistem brek.
Tiguan Turbo dilengkapi rim aloi aluminium 20 inci dan Volkswagen menawarkan tiga warna baharu iaitu Avocado Green Pearl, Sandstone Uni dan Monterey Blue Pearl

Suasana dalaman dihiasi bahan premium hiasan kayu walnut asli dari Amerika, konsol tengah berbalut dan dijahit dua lapis serta kerusi kulit Varenna yang dinaik taraf.
Kerusi depan mempunyai larasan kuasa 12-arah, fungsi urutan sepuluh sudut dan pengudaraan. Stereng dan kerusi belakang (sisi) dilengkapi fungsi pemanasan.
Sistem kawalan suhu automatik Climatronic® Touch 3 zon menjaga keselesaan semua penumpang.
Tuil gear dipindahkan ke tiang stereng dan memberikan ruang lebih luas pada konsol tengah bagi menambah kapasiti penyimpanan.

Suis kawalan pemanduan di konsol tengah membolehkan pelarasan mudah untuk tahap bunyi dan Drive Mode Select.
Fungsi Atmospheres menyelaraskan lampu suasana dan tetapan audio secara serentak.
Sistem Digital Cockpit Pro 10.25 inci generasi baharu adalah standard.
Sistem maklumat hibur dengan teknologi MIB4 menampilkan paparan 15.0 inci sebagai ciri standard untuk varian tertinggi ini.''

Turut dilengkapi pengecasan tanpa wayar dan App-Connect, papar pandu, lampu ambien 30-warna dan sistem bunyi Harman Kardon™ 12 pembesar suara.
Dari segi keselamatan, Tiguan dilengkapi sepuluh beg udara dan teknologi bantuan pemandu IQ.DRIVE®.
Teknologi ini merangkumi sistem Bantuan Pemanduan, Kawalan Suai Pandu dengan Henti dan Mula, Bantuan Depan dan Pengawasan Titik Buta Aktif.
Lagi sistem standard Tiguan Turbo seperti Bantuan Lorong, Bantuan Kecemasan, Bantuan Lampu, Kawalan Jarak Pakir, Amaran Keluar dan Bantuan Parkir Plus.

Volkswagen Tiguan SEL R-Line Turbo 2026 akan dilancar secara rasmi pada musim luruh ini (sekitar September hingga November).
Penulis: Muhammad Md Tajudin