Volkswagen T-Cross 2024, penyambung legasi 1.2 juta unit!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen T-Cross R-Line 2024
Volkswagen T-Cross R-Line 2024
Sana sini pengeluar kereta sibuk menawarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak.

Volkswagen sebagai gergasi automotif mestilah turut serta dan sudah bertahun menawarkannya melalui T-Cross.

VW T-Cross dilancarkan pada Oktober 2018 dan jualannya telah pun mencecah 1.2 juta unit!. Purata pengeluaran sebanyak 300,000 unit setahun.

Selain Eropah, T-Cross dijual di pasaran global lain dengan nama Tacqua atau Taigun dan turut ditawarkan di negara jiran Indonesia. 
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
Volkswagen T-Cross R-Line 2024

 

SUV itu dibangunkan dalam dua versi, model jarak roda pendek (SWB) dengan ukuran panjang 4,108 mm dan jarak roda panjang (LWB) dari 4,199 mm hingga 4,218 mm.

Satu fakta menarik tentang T-Cross ialah model di pasaran sekarang sudah pun habis terjual di beberapa negara Eropah.

Tepat pada masanya, VW memperkenalkan T-Cross 2024 (rupa baharu) dengan perubahan luar dan dalam.

Sekali pandang nampak macam sama dengan model sebelum ini dan perubahan sebegitu adalah perkara biasa untuk model VW.

 

Volkswagen T-Cross R-Line 2024

 

Bahagian depan T-Cross 2024 mengikuti gaya SUV besar Touareg yang diperkenalkan pada Mei lalu. Si kuning dalam artikel ialah T-Cross R-Line yang tampil sporti.

Bahagian depan dan belakang T-Cross menggunakan lampu besar LED bersepadu, lampu nyalaan siang LED dan gugusan lampu belakang LED yang meriah dengan corak X.

Lampu besar jenis IQ.LIGHT LED matrix pertama kali ditawarkan pada T-Cross dan juga digunakan pada Touareg baharu.

Ada tiga warna baharu yang ditawarkan iaitu Grape Yellow, Clear Blue Metallic dan Kings Red Metallic.

 

Volkswagen T-Cross R-Line 2024

 

Jika bahagian luar diubah mengikut gaya evolusi, lain pula di dalam dengan papan pemuka baharu dengan varian dilengkapi instrumen digital sebagai ciri standard.

Skrin sentuh di tengah papan pemuka ada dua jenis, 8 inci sebagai ciri standard dan skrin 9.2 inci untuk varian paling premium.

Panel papan pemuka menggunakan bahan balutan lembut dan permukaan lebih berkualiti seperti model VW yang lebih besar. 

Standard sama digunakan pada kemasan pintu depan T-Cross Style dan T-Line. 

 

Volkswagen T-Cross R-Line 2024

 

Selain itu, sistem penyaman udara manual dijadikan ciri standard atau pelanggan boleh memilih Air Care Climatronic dengan sentuhan gelangsar.

Dari segi praktikaliti, kerusi belakang boleh dianjak sehingga 140 mm dan boleh dipisah dengan nisbah 60:40 dan lipatan rata untuk ruang barangan 1,280 liter.

Dalam keadaan biasa, ruang barangan mempunyai kapasiti 385 liter hingga 455 liter. 

Satu lagi yang diubah ialah beban batang tarik (drawbar) dinaikkan dari 55 kg kepada 75 kg untuk membawa atau membawa barang lebih berat.

 

Volkswagen T-Cross R-Line 2024

 

Dari segi rangkaian kuasa, VW memaklumkan T-Cross menggunakan enjin TSI dan tidak dimaklumkan sama ada menerima teknologi mild hybrid.

Sebagai rujukan, model Eropah sebelum ini digerakkan enjin 1.0 liter TSI tiga silinder,1.5 liter TSI, 1.6 liter TDI (diesel) dan pilihan transmisi manual atau klac berkembar DSG.

T-Cross akan dilancarkan di pasaran pada awal 2024 dan penghantaran bermula pada suku kedua tahun sama.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Volkswagen T-Cross R-Line 2024

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ucapkan selamat datang kepada Volkswagen ID.7 Tourer 2024, sebuah wagon berkuasa elektrik yang…
Berita Global
Mahindra akan menggunakan komponen-komponen yang dibekalkan oleh Volkswagen untuk model kenderaan…
Berita Global
Ini bermakna, Toyota masih lagi kekal sebagai pengeluar automotif terbesar di dunia untuk tahun…