
Tahun 2024 merupakan tempoh sukar buat pengeluar kereta susulan persaingan sengit, peralihan teknologi, tekanan ekonomi dan pelbagai lagi.
Penurunan sebanyak 1.4 peratus masih boleh diterima di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi.
Satu daripada cabaran spesifik adalah kenderaan elektrik bateri (BEV). Sejak siri ID. dilancar pada 2019, jualannya sudah melebihi 1.35 juta unit di serata dunia.
Daripada sejumlah model yang ditawarkan, ID.3 terjual sekitar 500,000 unit. Jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) VW pada 2024 mencecah 383,100 unit.

Untuk perbandingan, jualan kenderaan penumpang BEV BYD pada 2024 melebihi 1.76 juta unit.
VW tidak mempunyai masalah dari segi model BEV dengan sejumlah model siri ID. seperti ID.3, ID.4, ID.5, ID.6, ID.7, ID. Buzz dan sedang membangunkan model mampu milik dan ID. GTI.
VW nombor satu di negara asal, Jerman dengan penguasaan pasaran sebanyak 19.1 peratus berdasarkan maklumat Agensi Pengangkutan Kenderaan Bermotor Persekutuan Jerman (KBA).
Sebagai perbandingan, Perodua menguasai pasaran tempatan dengan pegangan sebanyak 44 peratus.

Daripada sepuluh senarai kereta paling laris, lima model VW berjaya mendapat tempat seperti Golf, T-Roc, Tiguan, Passat dan Polo. VW juga meneraju pasaran BEV di Jerman.
Perodua juga sama dengan Bezza, Axia dan Myvi di tempat ketiga teratas manakala Alza dan Atiza di tempat kelima dan keenam.
Daripada enam model, hanya Aruz di luar senarai sepuluh terlaris. Untuk BEV, mungkin Perodua akan menguasai? Atau Proton?
Model terlaris VW dipegang kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan penguasaan sebanyak 47 daripada keseluruhan penyerahan atau peningkatan 1.4 peratus daripada 2023.

Tiguan paling banyak dibeli dan diikuti T-Roc. Sejak crossover kompak ini dilancar jualan sudah pun melebihi dua juta unit.
T-Roc dilancar pada 2017 dan VW bakal menggantikannya pada 2025.
Satu lagi model popular VW adalah kereta kecil dan lebih 20 juta unit diserahkan kepada pelanggan.
Prestasi kereta kecil seperti Polo boleh dilihat di Brazil dengan serahan 2024 berjumlah 172,510 unit.

Dari segi pasaran, penghantaran di Amerika Selatan dan Amerika Utara masing-masing meningkat sebanyak 21.1 dan 18.4 peratus.
Di China yang merupakan pasaran kereta terbesar di dunia, penyerahan menyusut sebanyak 8.3 peratus.
Jumlah serahan VW pada 2024:
Pasaran | Jumlah | Perubahan (2024 dan 2023) |
---|---|---|
Eropah | 1,254,500 | Penurunan 1.7% |
Amerika Selatan | 479,400 | Peningkatan 21.1% |
Amerika Utara | 592,300 | Peningkatan 18.4% |
China | 2,198,900 | Penurunan 8.3% |
Selepas pengumuman ini, ada satu lagi data yang ditunggu iaitu jualan keseluruhan Kumpulan Volkswagen yang mengandungi sejumlah jenama lain.
Dari situ boleh dibandingkan dengan Toyota Motor Corporation yang mempunyai jenama lain di bawahnya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
