Volkswagen Polo GTI Edition 25, edisi terhad sempena 25 tahun Polo GTI!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen Polo GTI Edition 25
Volkswagen Polo GTI Edition 25
Ada yang teringat tentang Volkswagen Polo GTI yang dibawa masuk ke pasaran tempatan beberapa tahun dulu?

Model yang dipaparkan ini dari generasi keenam (Mk6) yang dilancar pada 2017 dan menggunakan enjin 2.0 liter turbo dari Golf GTI Mk7.

Rupa-rupanya Polo GTI sudah memasuki tahun ke-25 dan Volkswagen meraikannya dengan menawarkan edisi terhad Polo GTI Edition 25.

Simbolik usia 25 tahun diulang pada 2500 unit yang ditawarkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Volkswagen Polo GTI Edition 25

 

Sebagai imbasan, varian berprestasi ini dimulakan pada tahun 1979 dengan pelancaran Polo GT dan pada 1998 barulah Polo (Mk3) menggunakan nama GTI.

VW menghadkan pengeluaran Polo GTI generasi pertama kepada 3,000 unit dan tidak berapa lama kemudian mengumumkan kesemuanya sudah habis dijual.

Model pengganti diperkenalkan pada 2006 dan dari generasi ini lahir Polo GTI Cup Edition dengan kuasa 182 ps dan penampilan agresif ala model lumba Polo Cup.

Polo GTI generasi kelima diperkenalkan pada 2010 dan model inilah yang dibawa masuk ke pasaran tempatan. 

 

Volkswagen Polo GTI Edition 25

 

Enjin 1.4 liter TSI dengan turbo dan supercas memang satu fenomena.

Tahukah anda? Volkswagen Group Malaysia sebelum itu atau pada 2008 melancarkan Polo GTI Mk4? Maknanya ada dua model Polo GTI yang ditawarkan di negara kita.

Kembali pada Polo GTI Edition 25, model ini digerakkan enjin 2.0 liter TSI yang menghasilkan 207 ps dan tork 320Nm. 

Enjin itu memacu roda depan dan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 6.5 saat. 

 

Volkswagen Polo GTI Edition 25

 

Tidak sekadar menjual nama, Polo GTI Edition 25 menggunakan suspensi sport talaan khas dengan badan diturunkan sebanyak 15 milimeter.

Kombinasi suspensi sport dengan sistem penguncian pembeza elektronik XDS meningkatkan lagi dinamika pemanduan model ini.

Lagi ciri istimewa seperti rim aloi Adelaide 18 inci warna Black Glossy, bumbung dan cermin sisi warna hitam dan grafik badan khas.

Bahagian dalam dilengkapi kerusi sport premium dengan balutan hitam dan merah. Logo 25 dibuat pada stereng dan logo One of 2500 terpampang pada alang pintu.

 

Volkswagen Polo GTI Edition 25

 

Lagi kelengkapan seperti lampu depan matrik IQ.LIGHT LED dengan Bantuan Lampu Dinamik dan lampu nyalaan siang LED.

Selain Pure White, VW menawarkan sejumlah warna seperti Kings Red Metallic, Reef Blue Metallic, Smoke Grey Metallic, Deep Black Pearl Effect dan Ascot Grey.

Polo GTI Edition 25 boleh dipesan pelanggan Jerman bermula 1 Jun dan dijual pada harga 35,205 euro (RM172,036).

Seperti kebanyakan model Polo lain, Polo GTI Edition 25 dipasang di kilang VW di Kariega, Afrika Selatan. Kilang itu mengeluarkan kenderaan VW sejak 1951.

 

Volkswagen Polo GTI Edition 25

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin