Volkswagen Polo dan Golf TGI, pandu lebih jauh dengan gas asli

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pertama sekali, tajuk artikel ini bukan disalah eja dari GTI kepada TGI. Ini adalah varian kepada Polo dan Golf yang dibekalkan dengan tangki gas asli ketiga.

Varian ini juga bukan diubahsuai oleh bengkel persendirian tetapi oleh Volkswagen sendiri. Maknanya pembeli di United Kingdom boleh mendapatkannya dari bilik pameran rasmi VW.

Kereta dengan tangki gas asli bukan sesuatu yang asing, Proton sendiri pernah menawarkan Persona CNG di Thailand sepuluh tahun lalu. 

Lebih biasa apabila banyak teksi dan kereta persendirian di negara kita menggunakan bahan tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
VW Polo R-Line
VW Polo R-Line - Belum dipasarkan ke Malaysia

 

Melalui mod gas mampatan asli (CNG) sepenuhnya, Polo TGI boleh dipandu sehingga 60 kilometer berbanding model terdahulu. Golf TGI pula mampu dipandu sehingga 80 kilometer dalam mod yang sama.

Satu kebaikan utama memandu kenderaan CNG ialah harga bahan yang lebih rendah berbanding minyak terutama sekali di negara Eropah.

Di Jerman misalnya, penjimatan kos berbanding kenderaan yang menggunakan diesel ialah 20 peratus dan 40 peratus untuk kenderaan dengan enjin petrol.

Kebiasaannya pemandu dengan gas asli hanya menggunakan mod petrol dalam keadaan yang tertentu sahaja.

 

VW Polo R-Line

 

Memahami keadaan tersebut, VW menambah kapasiti tangki gas asli untuk Polo TGI dan Golf TGI. Tangki gas asli ketiga yang dipasangkan dibuat daripada besi kekuatan tinggi dengan saduran khas.

Tangki asal Golf TGI ialah 23 liter dan perubahan yang dibuat menjadikan kapasiti bertambah kepada 115 liter atau 17.3 kg. Tambahan tersebut membolehkan Golf TGI dipandu dalam mod CNG sejauh 422 kilometer (standard WLTP). Golf TGI dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo baharu.

Polo TGI dijana oleh enjin 1.0L tiga silinder berkuasa 90 PS. Tangki tambahan mempunyai kapasiti 16.5 liter dengan isipadu keseluruhan sebanyak 91.5 liter atau 13.8 kg. Tambahan tersebut membolehkan Polo TGI dipandu sejauh 368 kilometer dalam mod CNG. 

 

VW Polo R-Line

 

Timbalan kepada tangki CNG ialah saiz tangki petrol yang lebih kecil dan berfungsi sebagai ganti jika kereta kehabisan gas.

Memandu menggunakan gas asli bukan sahaja baik untuk kocek anda tetapi juga alam sekitar. Jika dibandingkan dengan petrol atau diesel, gas asli mempunyai jumlah tenaga yang lebih tinggi dengan pecahan karbon lebih rendah.

Maknanya ialah, memandu dalam mod CNG menghasilkan kadar emisi CO2 lebih rendah berbanding petrol iaitu sebanyak 25 peratus.

Selain itu, asap yang dikeluarkan dari ekzos juga mempunyai karbon monoksida dan nitros oksida jauh lebih rendah manakala pecahan jelaga dalam jumlah sedikit sahaja.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

VW Polo R-Line