Alat pengecas ID. Charger ini boleh ditempah bermula akhir November tahun ini.
Terdapat tiga model ID. Charger yang ditawarkan, di mana kesemuanya dilengkapi dengan kapasiti pengecasan sehingga 11 kW yang mampu menawarkan sehingga lima kali lebih pantas masa pengecasan berbanding plug domestik.
Apa yang membezakan antara ketiga-tiga model Wallbox ini adalah fungsi digital yang dilengkapkan.
Model asas ID. Charger didatangkan pada harga serendah €399 (RM1.8k) dan kelengkapan asas seperti kabel kekal Type 2, dan perlindungan litar bersepadu terbina.
Model kedua ID. Charger Connect pula berharga €599 (RM2,754) yang menawarkan sambungan kepada jaringan internet di rumah dan peranti pintar menerusi WLAN atau LAN, dan opsyen menerusi sambungan 4G LTE.
Fungsi yang lebih moden ini membantu pemilik untuk memantau kegunaan serta status pengecasan, selain melakukan penyelenggaraan jarak jauh dan kemaskini perisian secara berkala.
Manakala model paling premium ialah ID. Charger Pro yang menampilkan meter elektrik terbina dalam untuk memudahkan para pemilik memantau kegunaan semasa serta menerusi paparan yang didatangkan.
Ciri sambungan LTE juga didatangkan sebagai standard dengan harga unit bermula dari €849 (RM3,904).