Volkswagen ID.7 GTX, EV VW paling berkuasa, 0 - 100 km/j 5.4 saat, jarak hampir 600 km

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen ID.7 GTX 2025
Volkswagen ID.7 GTX 2025
Pada Mac lalu Volkswagen memperkenalkan dua model elektrik berprestasi sekaligus iaitu ID.3 GTX dan ID.7 GTX Tourer (wagon).

Kali ini giliran fastback ID.7 GTX yang merupakan kenderaan elektrik (EV) paling berkuasa dari VW. Takhta itu dikongsi ID.7 GTX Tourer selain wagon VW paling berkuasa.

Jika ada yang dah terbiasa dengan GTI atau GTE, GTX pula mewakili varian berprestasi EV VW dengan gaya dan kelengkapan khusus.

Siri ID. dikhaskan untuk EV VW yang kini sudah membentuk satu keluarga melalui ID.3, ID.4, ID.5, ID.7 (fastback dan Tourer), dan ID. Buzz.
Volkswagen ID.3 GTX dan ID.7 GTX Tourer
Volkswagen ID.3 GTX dan ID.7 GTX Tourer

 

Sama seperti Tourer, model fastback GTX dibekalkan motor depan dan belakang dengan pacuan semua roda dan menghasilkan 250 kilowatt (kW) atau 340 ps. 

Angka itu lebih tinggi daripada 320 ps pada Golf R yang dipasang di Jerman atau Pekan, Pahang. Pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 5.4 saat.

Jarak pemanduan (WLTP) sehingga 595 kilometer (km). Bergaya, laju dan boleh dipandu jauh, cukup resepi kereta sedap.

Dari segi pengecasan, ID.7 GTX boleh dicas sehingga 200 kW di pusat pengecasan pantas DC dan penambahan 'jus' dari 10 sehingga 80 peratus dapat dicapai dalam 26 minit.

 

Volkswagen ID.7 GTX 2025

 

Dari segi penampilan, ID.7 GTX tampil dengan bampar depan dan belakang berjaring seperti Tourer dan membawa identiti GTX.

Lampu depan matrik IQ.LIGHT LED turut menyerlah bersama logo VW yang bernyala termasuk di belakang. Rim aloi Skagen saiz 20 inci memenuhi ruang lingkungan roda.

Pada bahagian dalam, kerusi dengan fungsi pemanas diriasi sulaman merah dan logo GTX.

Logo GTX dan sulaman merah turut diulang pada stereng pelbagai fungsi. Kemeriahan dalaman turut diserlahkan dengan 30 warna suasana.

 

 Volkswagen ID.7 GTX 2025

 

Lagi ciri asas seperti papar pandu realiti terimbuh (AR), bantuan suara dengan ChatGPT, Akses Tanpa Kunci dan beberapa lagi.

Walaupun banyak berkongsi, ID.7 GTX Tourer semestinya lebih dari segi muatan dengan ruang 606 liter berbanding 532 liter pada fastback.

Beban muatan bumbung sama iaitu 75 kilogram (kg). Satu lagi yang berbeza ialah pecutan 0 sehingga 100 km/j Tourer lambat 0.1 saat berbanding fastback.

Jarak pemanduan juga berkurang iaitu sehingga 585 km. 

 

Volkswagen ID.7 GTX 2025.04

 

Selain ID.7 GTX, VW memaklumkan penambahan varian baharu iaitu ID.7 Pro S2 dan ID.7 Tourer Pro S pacuan belakang (RWD) dengan kuasa 210 kW (286 ps).

Kedua-dua varian dilengkapi bateri 86 kilowatt-jam (kWj) sama seperti ID.7 GTX berbanding 77 kWj pada ID.7 Pro. 

Jarak pemanduan Tourer Pro S bertambah sehingga 690 km manakala ID.7 Pro S pula lebih jauh iaitu sehingga 709 km! 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Volkswagen ID.7 GTX 2025