Volkswagen ID.3 - sebuah lagi EV pacuan roda belakang!

oleh Mohamad Hanif|
Volkswagen memulakan era baharu dengan pelancaran logo rasmi yang lebih ringkas dan minimal, dan logo tersebut buat kali pertamanya akan digunakan pada model elektrik pertama mereka, ID.3 hatchback.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Volkswagen ID.3 dibangunkan berdasarkan platform modular MEB yang bakal menjadi pelantar rasmi untuk model-model elektrik VW akan datang.
 


Sama seperti EV yang lain, pek bateri Volkswagen ID.3 ini diletakkan rendah di bahagian lantai bagi memaksimumkan ruang kabin, sementara motor elektrik pula diposisikan di bahagian gandar belakang. 

Dari segi kuasa, VW ID.3 mampu menghasilkan 204 kuasa kuda dengan daya kilas 310 Nm yang memacu roda belakang menerusi transmisi kelajuan tunggal. 

Tiada sebarang data pecutan diberikan, namun Volkswagen mengehadkan kelajuan tertinggi kepada 160 km/j, lebih 5 km/j berbanding Nissan Leaf. 
 


Terdapat tiga varian pek bateri yang ditawarkan pada ID.3 ini iaitu:

  • 45 kWh - jarak operasi sejauh 330 km
  • 58 kWh - jarak operasi sejauh 420 km 
  • 77 kWh - jarak operasi sejauh 550 km

Kesemua varian pek bateri yang disebutkan diatas disokong oleh sistem pengecasan pantas 100 kW yang mampu memberikan jarak operasi sejauh 290 km dalam masa 30 minit sahaja. 
 


Memasuki ruang dalaman, Volkswagen ID.3 menawarkan ruang kabin yang lebih luas, terima kasih kepada pakej casis yang serba pintar walaupun dimensinya sama seperti Golf sedia ada. 

Walaupun dengan jarak antara roda yang lebih panjang iaitu 2,765 mm, Volkswagen ID.3 masih lagi mampu menawarkan ruang kargo sebesar 380 liter. 

Sistem hiburan pula didatangkan dengan skrin paparan bersaiz 10 inci, lapan buah pembesar suara dan sebuah subwoofer, serta dilengkapkan dengan sistem arahan suara yang boleh diakses dengan kata sapaan "Hello ID".

Antara ciri keselamatan yang didatangkan secara standard termasuklah:

  • sistem pengesan papan tanda
  • sistem brek kecemasan bandar
  • sistem pengesan pejalan kaki
  • bantuan kekal laluan
  • bantuan menukar laluan sisi
  • sistem amaran pra-pelanggaran
  • bantuan parkir & kawalan jarak parkir

 


Bersempena dengan pelancaran rasmi, Volkswagen mengumumkan pra-tempahan bagi model edisi terhad ID.3 1ST yang didatangkan dengan pek bateri 58 kWh. 

Antara ciri yang didatangkan termasuklah sistem navigasi, radio digital DAB+, sistem pemanas tempat duduk dan stereng, perehat tangan di hadapan, kabel pengecas Mode 2 dan juga rim aloi bersaiz 18 inci. 

Untuk mereka yang mahukan lebih banyak aksesori, terdapat varian 1ST Plus yang menambah sistem kamera undur belakang, kawalan pelayaran adaptif, sistem kemasukan tanpa kunci Kessy Advanced, dua slot USB-C, lampu nyalaan ambien, lampu matrix LED, serta rim aloi bersaiz 19 inci. 

Varian 1ST Max pula menerima paparan head-up Augmented Reality (AR), sistem bunyi Beats, bumbung kaca panorama dan juga rim aloi ringan bersaiz 20 inci. 
 


Setakat ini, Volkswagen tidak mengumumkan harga jualan rasmi ID.3 namun berjanji akan menjual model asas pada harga kurang dari €30,000 (RM138 ribu). 

Produksi ID.3 bakal bermula pada penghujung 2019 manakala penghantaran pertama pula dijangka bermula pada awal 2020.

Walaupun baru dilancarkan, Volkswagen ID.3 dikhabarkan sudah pun menerima lebih daripada 30,000 tempahan!

Berita Berkenaan

Berita Global
   Volkswagen ID.3 GTX Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan…
Berita Global
  Jika ukuran ID.4 lebih daripada 4.5 meter panjang dan 1.6 meter tinggi, ID.3 pula lebih kecil…
Berita Global
Volkswagen baharu sahaja membuka tempahan bagi model elektrik baharu VW ID.3 dan mengejutkan…