Walaupun tidak lagi menggunakan enjin pembakaran dalaman, Volkswagen menegaskan model ini masih mengekalkan “jiwa GTI” menerusi talaan casis, rekaan agresif dan pengalaman pemanduan yang cuba meniru hatchback prestasi klasik.

Rekaan Luaran Kekal Identiti GTI
Dari sudut rekaan, ID. Polo GTI tampil dengan wajah lebih agresif berbanding model standard. Bahagian hadapan menerima spoiler bawah lebih besar bersama lampu DRL menegak yang memberikan karakter lebih garang.

Model ini turut dilengkapi side skirt khas dengan logo GTI, diffuser belakang lebih besar serta spoiler bumbung baharu yang mempunyai potongan di tengah.
Volkswagen juga memasang rim 19-inci eksklusif dengan logo GTI merah serta angkup brek merah sebagai ciri standard.


Kabin Gabung Elemen Klasik Dan Moden
Di bahagian dalaman, Volkswagen cuba mengekalkan identiti GTI menerusi tempat duduk bucket dengan corak tartan moden yang diinspirasikan daripada GTI klasik.
Stereng dua jejari dengan reka bentuk rata di bahagian atas dan bawah turut digunakan, manakala kemasan merah kontras dan grafik khas pada skrin infotainmen membantu membezakan model ini daripada ID. Polo biasa.

Motor Elektrik 223 HP
Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi satu motor elektrik yang menghasilkan 223 hp dan 290 Nm tork.
Prestasinya membolehkan ID. Polo GTI memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 175 km/j.
Walaupun angka itu tidak dianggap paling pantas dalam segmen hot hatch elektrik, Volkswagen memberi fokus kepada pengalaman pemanduan melalui penggunaan electronic limited-slip differential (e-LSD), suspensi lebih rendah dan sistem brek lebih besar.

Bunyi Enjin Tiruan Dan ‘Fake Gear’
Satu perkara yang menarik perhatian ialah Volkswagen turut membangunkan sistem bunyi enjin tiruan bagi memberikan pengalaman lebih dekat dengan GTI petrol tradisional.
Sistem bunyi tersebut boleh diaktifkan sama ada di dalam atau luar kenderaan.
Volkswagen juga mengesahkan varian Clubsport yang lebih ekstrem bakal diperkenalkan kemudian dengan kuasa lebih tinggi serta fungsi “fake gear” bagi meniru pengalaman penukaran gear manual.
Model itu juga sudah dilengkapi paddle shifter pada stereng, namun buat masa ini paddle tersebut hanya digunakan untuk mengawal tahap regenerative braking.

VW Mahu GTI Kekal Relevan Dalam Era EV
Pengenalan ID. Polo GTI menunjukkan Volkswagen masih mahu mengekalkan identiti GTI walaupun dunia automotif semakin bergerak ke arah mobiliti elektrik.

Daripada sekadar menghasilkan EV pantas, Volkswagen nampaknya cuba memastikan model GTI elektrik ini masih mempunyai elemen menyeronokkan yang sinonim dengan hot hatch sejak beberapa dekad lalu.