Jadi, adalah tidak menghairankan apabila pasaran tersebut masih lagi dibanjiri dengan penawaran model-model wagon generasi terkini sebagai alternatif kepada SUV.
Dan bagi mereka yang mahu menggantikan peranan SUV pantas, Volkswagen kini menawarkan sebuah model yang sesuai dengan citarasa anda, Volkswagen Golf R Variant (istilah VW yang merujuk kepada station wagon).
Secara kasarnya, Volkswagen Golf R Variant merupakan sebuah Golf R yang ditambah dengan ruang kargo sebesar 611 liter secara standard (atau 1,642 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat), serta kehadiran rel bumbung untuk penambahan ruang storan yang amat berguna untuk sebuah keluarga.
Praktikaliti Golf R Variant tidak terhenti setakat itu, di mana ia juga turut mendapat ciri dan kemudahan seperti jaring ruang kargo, cangkuk beg, outlet 12V dan soket 230V, pintu tailgate bebas tangan, serta pendakap tunda berkuasa elektrik.
Sama seperti kembar hot hatch-nya, Volkswagen Golf R Variant didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 315 kuasa kuda, daya kilas 400 Nm, sistem transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Motion.
Pecutan 0-100 km/j pula mengambil masa kira-kira 4.9 saat, 0.2 saat lebih perlahan jika dibandingkan dengan Golf R, namun kelajuan tertinggi kekal pada 250 km/j untuk versi standard atau 270 km/j dengan menggunakan R Performance Package.