VOLKSWAGEN GOLF R BAHARU DILANCARKAN DI MALAYSIA, 333 PS, HARGA RM 337,790!

oleh Qalif Latif|
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan ketibaan Volkswagen Golf R baharu di pasaran tempatan pada harga jualan yang disyorkan bermula RM337,790.

Model hatchback berprestasi tinggi itu menerima pelbagai penambahbaikan dari segi kuasa, teknologi dan reka bentuk, menjadikannya Golf paling berkuasa pernah ditawarkan oleh Volkswagen. Malaysia juga menjadi satu-satunya negara di luar Jerman yang memasang Golf R secara tempatan menerusi kilang Volkswagen di Pekan, Pahang.

Menurut Pengarah Urusan VPCM, Renate Noessler, Golf R baharu menggabungkan kegunaan harian dengan prestasi pemanduan yang mengujakan dalam satu pakej lengkap, sambil mengekalkan ciri versatiliti dan praktikaliti yang sinonim dengan nama Golf.

Golf R

Kuasa Meningkat Kepada 333 PS

Jentera ini dikuasakan enjin 2.0 liter TSI turbo yang menghasilkan 333 PS (328 hp) dan tork maksimum 420 Nm, dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4MOTION.

Gabungan tersebut membolehkan Golf R memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.6 saat.

Turut disediakan ialah sistem R Performance Torque Vectoring yang mampu mengagihkan tork secara dinamik antara roda belakang bagi meningkatkan kestabilan dan ketepatan ketika mengambil selekoh.

Bagi mereka yang gemar memandu secara agresif, Golf R turut menawarkan mod pemanduan Comfort, Sport, Race, Drift dan Individual.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia

 

Rekaan Lebih Garang Dan Eksklusif

Golf R baharu tampil dengan penampilan yang lebih agresif menerusi bampar hadapan baharu, logo Volkswagen bercahaya dan pelbagai elemen eksklusif R.

Antara ciri paling menarik ialah sistem ekzos titanium empat paip R Performance daripada Akrapovič yang bukan sahaja menghasilkan bunyi lebih sporty, malah membantu mengurangkan berat keseluruhan kenderaan.

Golf R

Model ini turut dilengkapi rim aloi ringan Estoril bersaiz 19 inci, lampu hadapan IQ.LIGHT Matrix LED serta lampu belakang LED 3D dengan lampu isyarat dinamik.

Golf R

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Dolphin Grey, Lapiz Blue, Grenadilla Black dan Pure White.

Kabin Lebih Digital Dan Moden

Di bahagian dalaman, Golf R menerima sistem infotainmen baharu bersaiz 12.9 inci yang menggunakan sistem operasi MIB4 terkini bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih pantas dan intuitif.

Golf R

Golf R
Turut disediakan Digital Cockpit Pro bersaiz 10 inci, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta pembantu suara IDA yang dipertingkatkan.

Bagi pengalaman audio premium, Volkswagen melengkapkan Golf R dengan sistem bunyi Harman Kardon berkuasa 480W yang menggunakan sembilan pembesar suara, amplifier 12 saluran dan subwufer.

Golf R

 

Pakej Keselamatan Lengkap

Dari segi keselamatan, Golf R baharu dilengkapi sistem IQ.DRIVE yang merangkumi Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop-and-go, Front Assist dengan brek kecemasan autonomi, Lane Assist, Side Assist dan Park Distance Control.

Turut disediakan sistem perlindungan penumpang proaktif bagi membantu meningkatkan keselamatan penghuni ketika berlaku situasi kecemasan.

Harga jualan yang disyorkan bagi Volkswagen Golf R baharu ialah RM337,790.

Pelanggan yang memilih Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan percuma lima tahun, waranti lima tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan lima tahun perlu membayar RM355,990.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia
 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Selain dari reka bentuk hatchback, Golf R terbaharu ini turut ditawarkan dengan pilihan reka bentuk…
Model Terbaharu
Direka khas untuk litar Nürburgring-Nordschleife, mode “Special” memberikan Golf R talaan yang…
Model Terbaharu
Ini menjadikan Malaysia sebagai negara kedua di dalam dunia selepas Jerman yang mempunyai kepakaran…